'Biar kebajikan terjaga', aktivis Solidaritas kongsi kepentingan wujudkan kesatuan sekerja di pasar raya


  • Massa
  • Isnin, 29 Jul 2024

Antara kepentingan kesatuan termasuk sebagai saluran perhubungan antara majikan dengan pekerja serta menjaga kebajikan dan faedah pekerja. — Gambar hiasana

SEORANG aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjelaskan kepentingan untuk majikan mewujudkan kesatuan sekerja.

Muhammad Najib yang juga aktivis Pertubuhan Solidaritas berkata, antara kepentingannya termasuk berfungsi sebagai saluran perhubungan antara majikan dengan pekerja serta menjaga kebajikan dan faedah pekerja.

Menerusi laman X (Twitter), dia berkata, kesatuan juga boleh mewakili suara pekerja sekiranya berlaku pertikaian dalam perusahaan, di samping meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggota kesatuan.

BACA LAGI: Peguam 'kotak pensel' mahu buka semula kes Amirul Nashriq, pejuang kematian penuntut UPNM belum terbela

BACA LAGI: 'Tiada lagi gelak tawanya sambil isi beras dalam ketupat', bapa kongsi memori Syawal bersama Zulfarhan

"Dengan adanya kesatuan sekerja ini, dapatlah pekerja tandatangan perjanjian kolektif dengan pengurusan.

"Maka hal-hal gaji dan faedah meliputi bonus, insurans, cuti, perubatan dan pelarasan gaji bolehlah ditawar-menawar secara kolektif setiap dua tahun," ciapnya pada Isnin dengan merujuk dan memberi contoh rangkaian pusat beli-belah, AEON CO (M) BHD atau AEON yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Untuk rekod, AEON CO (M) BHD atau AEON pada 25 Julai lalu memeterai Perjanjian Kolektif Pertama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON CO (M) BHD.

Selain faedah insurans, tuntutan cuti dan bonus, Perjanjian Kolektif itu turut menyenaraikan faedah yang ditambah baik seperti penambahan pelarasan gaji dan kadar minimum kenaikan gaji bagi ahli kesatuan serta cuti keagamaan bagi pekerja yang bekerja lebih 15 tahun ke atas.

Bagi segelintir individu, mereka mungkin beranggapan bahawa pemeteraian kesatuan itu adalah perkara biasa.

Bagaimanapun untuk makluman, Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON CO (M) BHD merupakan kesatuan pertama yang ditubuhkan di bawah kategori peruncitan.

Menurut Muhammad Najib, secara keseluruhan, sebanyak 28 pusat beli-belah AEON dibuka di seluruh negara, dengan 12,500 pekerja di bawahnya.

"Mungkin ramai tidak tahu, dalam tempoh 40 tahun AEON wujud di Malaysia, belum pernah ada kesatuan sekerja yang diiktiraf untuk pekerja di pusat itu.

"Ini berbeza dengan di Jepun mereka mempunyai Federation of AEON Group Workers' Unions.

"Jadi usaha dibuat untuk pastikan pekerja AEON di Malaysia pun ada kesatuan sekerja," ciapnya.

Aeon Mall Shah Alam located at Section 13 Shah Alam..(For Sultan Birthday Supplement.)

AEON menjadi antara rangkaian pusat membeli-belah yang cukup popular dalam kalangan rakyat di Malaysia.

"Paling menarik, selepas tandatangan perjanjian kolektif minggu lepas, terus Menteri Sumber Manusia, (Steven Sim Chee Keong) umum Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON terima geran RM18,000 di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) untuk menyokong pengurusan dan aktiviti kesatuan," jelas Muhammad Najib lagi.

Tambahnya lagi, PHEKS merupakan antara usaha kerajaan untuk mendukung dan memperkasa kesatuan sekerja.

Muhammad Najib itu turut berharap agar dengan pemeteraian Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON dan perjanjian kolektif yang merupakan perintis dalam peruncitan, akan ada banyak lagi kesatuan sekerja di pasar raya lain.

"Biar semua kebajikan pekerja terjaga kerana pekerja kesuma bangsa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram