Peguam 'kotak pensel' mahu buka semula kes Amirul Nashriq, pejuang kematian penuntut UPNM belum terbela


  • Massa
  • Isnin, 29 Jul 2024

Keluarga Amirul Nashriq menuntut bela atas kematian mangsa yang dikatakan meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di Air Terjun Chamang.

KES melibatkan kematian bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Nashriq Othman yang meninggal dunia pada tahun 2018 lalu bakal dibuka semula.

Ia susulan Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar difahamkan akan berkunjung ke kediaman Allahyarham dalam masa terdekat dan membuat persediaan untuk membuka semula kes tersebut.

Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok @rkantiktok, Ahmad Zaharil dipercayai dalam usaha untuk membawa kes itu ke muka pengadilan.

BACA LAGI: Kes Zulfarhan sudah berakhir, mungkin ramai lupa nasib Amirul Nashriq masih belum terbela

BACA LAGI: 'Tiada lagi gelak tawanya sambil isi beras dalam ketupat', bapa kongsi memori Syawal bersama Zulfarhan

Lawyer Ahmad Zaharil

Ahmad Zaharil Muhaiyar

"Dalam sesi siaran langsung, ibu arwah Amirul Nashriq memberi pencerahan (tentang) apa yang berlaku kepada anaknya (sepanjang) belajar di UPNM.

"Setelah panjang lebar pencerahan diberikan, Ahmad Zaharil memaklumkan akan mengambil kes ini dan dibawa ke tengah," maklum pengendali akaun @rkantiktok pada Ahad.

Majoriti sebelum ini melaporkan kembali kes kematian Amirul Nashriq setahun selepas pemergian Zulfarhan.

Hasil siasatan polis mendapati remaja berusia 19 tahun pada ketika itu meninggal dunia akibat lemas ketika mandi bersama-sama rakannya di Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang pada 24 Mac 2018.

Bagaimanapun, pemergiannya menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, ada juga yang mendakwa bahawa kematian Amirul Nashriq bukanlah disebabkan lemas tetapi kerana didera.

Menurut laporan Berita Harian pada 29 Mei 2018, bapa Allahyarham, Othman Yusoff, 51, dilaporkan berkata, keluarganya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis serta laporan bedah siasat anaknya.

Jelasnya, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Gopeng, pada 25 Mei 2018 selepas melihat kecederaan dialami Amirul Nashriq termasuk kesan lebam yang terdapat pada badan mangsa dua hari sebelum kejadian.

"Kami sekeluarga tidak berpuas hati kerana autopsi dilakukan tanpa kebenaran saya sebagai waris, dan hanya menandatangani surat kebenaran sejurus sampai di Hospital Bentong, Pahang.

"Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas, sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior," katanya.

Untuk rekod, Ahmad Zaharil sebelum ini pernah mengendalikan pelbagai kes termasuk membantu menyelamatkan seorang wanita yang ditahan atas kesalahan mencuri bekas kotak pensel untuk dihadiahkan kepada anak lelaki berusia 10 tahun, daripada menerima hukuman yang berat.

Majoriti kini dalam usaha mendapatkan respons daripada Ahmad Zaharil untuk mengulas lanjut tentang perkembangan kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram