Lepas nasib Zulfarhan terbela, rakyat ternanti-nanti keputusan 3 lagi kes pernah gemparkan negara


  • Massa
  • Rabu, 24 Jul 2024

Ibu bapa Zulfarhan kini boleh menarik nafas lega mengenangkan nasib anak sulung daripada empat beradik itu sudah terbela.

HANYA linangan air mata dan sujud yang mampu mengungkapkan betapa bersyukurnya ibu bapa Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain sejurus keputusan Mahkamah Rayuan terhadap keenam-enam tertuduh yang mengakibatkan kematian anak mereka dibacakan.

Selepas tujuh tahun, Zulkarnain Idros dan Hawa Osman kini boleh menarik nafas lega mengenangkan nasib anak sulung daripada empat beradik itu sudah terbela.

Mahkamah Rayuan pada Selasa menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas mereka didapati bersalah membunuh Zulfarhan pada tujuh tahun lalu.

BACA LAGI: Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati

BACA LAGI: Kes kematian Zulfarhan: Bapa harap rayuan ditolak, keputusan penjara 18 tahun kekal

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan.

Hadhariah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah tuduhan pembunuhan terhadap keenam-enam bekas penuntut yang masing-masing kini berusia 28 tahun.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

ZULFARHAN

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM.

Hadhariah dalam prosiding yang berjalan lebih tiga jam, menyifatkan jenayah yang dilakukan terhadap Zulfarhan sebagai 'yang paling jarang berlaku' dengan turut mengambil kira perasaan yang dirasai oleh ibu bapanya.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Selain Zulfarhan, berikut Majoriti kongsikan tiga lagi kejadian yang pernah menggemparkan negara sebelum ini, namun tidak mendapat keadilan sewajarnya meskipun sudah bertahun-tahun berlaku.

Muhammad Adib Mohd Kassim

Muhammad Adib

1) Muhammad Adib Mohd Kassim

Pasti masih ramai yang belum melupakan tragedi menimpa seorang ahli bomba bernama Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib yang pernah berkhidmat sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Selangor meraih perhatian masyarakat umum selepas dia dilaporkan menjadi mangsa rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 27 November 2018.

Dia yang berumur 24 tahun ketika itu disahkan meninggal dunia selepas 21 hari dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat kecederaan parah.

Lebih menyedihkan, pemuda berasal dari Kedah itu merancang untuk berkahwin dengan tunangnya, Nurul Najihah pada 21 Disember 2018.

Allahyarham dikatakan diserang dan dipukul hingga parah, dengan jentera bombanya juga dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku akibat perselisihan faham melibatkan dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Muhammad Adib Mohd Kassim2

Muhammad Adib meninggal dunia selepas 21 hari bertarung nyawa di IJN.

Pihak berkuasa kuil membuat tuntutan terdapat video yang disebarkan menunjukkan Muhammad Adib cedera dilanggar jentera bomba yang sedang mengundur, namun dakwaan itu disangkal Ketua Pengarah Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid.

Sebuah jawatankuasa khas diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematiannya, berdasarkan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 9 Oktober 2021.

2) Teoh Beng Hock

Teoh Beng Hock

Kes kematian Beng Hock masih belum dapat diselesaikan.

Selepas lebih satu dekad, kes kematian Teoh Beng Hock masih belum dapat diselesaikan.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock yang juga bekas pembantu Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemukan meninggal dunia di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam.

Pada hari sebelum kejadian, pegawai SPRM membuat serbuan di pejabat Hian Wah dan Beng Hock akur apabila dirinya diminta hadir ke SPRM Selangor untuk memberi keterangan.

Terdapat juga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Beng Hock memasuki bangunan SPRM Selangor pada pukul 6.08 petang.

Kemudian kira-kira pukul 1 petang, mayat mendiang ditemui di tingkat lima bahagian bumbung Plaza Masalam.

Teoh Beng Hock2

Mayat Beng Hock ditemui di tingkat lima bahagian bumbung Plaza Masalam.

Mendiang disahkan jatuh dari tingkap tingkat 14, iaitu terletaknya pejabat SPRM Selangor.

Pada 5 Ogos 2009, inkues yang ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kematian mangsa bermula.

Prosiding berlanjutan selama 17 bulan dengan dua teori diketengahkan, iaitu bunuh diri dan dibunuh.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes itu pada 2011 memutuskan kematiannya kerana membunuh diri berikutan siasatan yang dijalankan SPRM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Julai lalu memberi jaminan akan berjumpa keluarga mendiang Beng Hock dalam masa terdekat.

3) Nurin Jazlin

WhatsApp Image 2024-07-23 at 19.40.56

Nurin Jazlin

Selepas 17 tahun, pembunuhan kejam melibatkan kanak-kanak malang, Nurin Jazlin masih meninggalkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin yang berumur lapan tahun ketika itu dilaporkan hilang selepas meninggalkan rumah untuk ke pasar malam di Wangsa Maju bersendirian.

Sebaik mendapati kanak-kanak berkenaan tidak pulang ke rumah, ibu bapa dan adik-beradiknya mulai cemas dan tertekan.

Kehilangan Nurin Jazlin terus menjadi tanda tanya sehingga pada pagi 17 September 2007, mayatnya yang tidak berbaju ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya.

Penemuan itu membawa kepada siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan memaklumkan bahawa dia dirogol dan dibunuh.

Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria yang menjadi antara faktor penyumbang kematiannya.

Fizikal kanak-kanak itu yang ditemui mati dengan keadaan kurus kering selain dengan pelbagai kesan lebam pada badannya menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman pertama kali Isnin lepas.

Pemergian Nurin Jazlin ditangisi banyak pihak, sehingga imam sembahyang jenazah, Abdul Aziz Elias Zahari juga dilihat menangis teresak-esak ketika membaca doa selepas mengimamkan solat berkenaan yang disertai 200 jemaah.

Pada 28 September 2007, empat lelaki dan seorang wanita ditahan untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, identiti perogol dan pembunuh masih bebas dan kes itu juga belum selesai sehingga ke hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram