Kerajaan peruntuk RM6 juta kepada ANGKASA perkasa koperasi seluruh negara


  • Primer
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk meminda beberapa peruntukan undang-undang bagi menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan, kata Anwar.

KERAJAAN memperuntukkan dana berjumlah RM6 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam usaha memperkasa gerakan koperasi di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu termasuk peruntukan baharu RM2 juta kepada ANGKASA, terdiri daripada RM1 juta untuk program melibatkan koperasi Asean ketika Malaysia memegang jawatan pengerusi kumpulan itu tahun depan dan dua peruntukan RM500,000 untuk membangunkan dan melatih koperasi masjid luar bandar.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2 juta dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk Program Jualan Rahmah dan RM2 juta lagi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui peruntukan Program Sejati Madani.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.

Mengulas lanjut, Anwar turut menggalakkan setiap agensi kerajaan menubuhkan koperasi supaya semua kakitangan dapat menikmati faedah dan insentif dividen di bawah ANGKASA.

“Kementerian Kewangan juga boleh mempertimbangkan sebahagian peruntukan daripada kementerian atau agensi kepada pengurusan koperasi di bawah kementerian dan jabatan masing-masing, mengikut prosedur perolehan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan juga menggesa lebih 15,000 koperasi di seluruh negara untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih mampan dan produktif.

Sementara itu, jelas Anwar, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk meminda beberapa peruntukan undang-undang bagi menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan.

Menurut beliau, draf cadangan pindaan ke atas undang-undang itu sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara, sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Soal undang-undang Menteri (Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk) Ewon beritahu sudah ada kerangka awal dan dalam tempoh dua bulan akan datang apabila disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara, dibawa ke Jemaah Menteri untuk diluluskan," ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2024-07-26 at 14.38.06

Ewon Benedick

Dalam pada itu, Ewon memberitahu, ANGKASA mempunyai 7.2 juta ahli di seluruh negara dan mencatatkan pendapatan berjumlah RM64.6 bilion tahun lepas.

“Angka ini melepasi sasaran kementerian sebanyak RM60 bilion (dalam hasil) untuk 2025.

“Pada masa sama, kejayaan koperasi dalam menembusi pelbagai sektor ekonomi telah meningkatkan modal saham dan yuran berjumlah RM17 bilion, dengan penjanaan aset bernilai RM165.9 bilion,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa prospek koperasi akan terus berkembang, memandangkan pertumbuhan ekonomi positif yang dicatatkan Malaysia baru-baru ini.

“Kami yakin sasaran sumbangan hasil koperasi sebanyak RM73 bilion di bawah Dasar Koperasi Malaysia 2030 dapat dicapai lebih awal,” katanya. — The Star/TARRENCE TAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram