POLIS mengenal pasti motif pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah disebabkan berlakunya perselisihan hubungan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau dilaporkan berkata, laporan siasatan kes sudah dilengkapkan dan suspek yang juga anggota polis berusia 26 tahun akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.
“Kita sudah selesai (siasatan) dan kita pun sudah mendapat arahan untuk membuat pertuduhan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan The Star.
BACA LAGI: Pencarian bukti selesai, siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini hampir siap — Ketua Polis Selangor
BACA LAGI: Dua rangkai kunci kereta, dompet disahkan milik Nur Farah Kartini
Mengulas lanjut mengenai penemuan beberapa barangan peribadi dipercayai milik Nur Farah Kartini dalam operasi pencarian di Sungai Trolak, Perak, Hussein berkata, ia sudah cukup untuk digunakan bagi mendakwa suspek.
Jelasnya, polis bagaimanapun masih menunggu laporan pihak hospital mengenai punca kematian mangsa.
Mayat Nur Farah Kartini Abdullah yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak sejak 11 Julai lalu ditemukan di ladang sawit Kampung Seri Keledang, kira-kira 6 petang pada 15 Julai lalu.
Mangsa dipercayai dibunuh individu dikenali dan polis turut menahan anggota polis berpangkat lans koperal, dipercayai teman lelakinya.
Suspek kemudian ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram