Sebutan semula kes ibu bapa Zayn Rayyan 18 September depan


Pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan.

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak austisme itu pada Disember lalu.

Memetik laporan Buletin Utama pada Jumaat, Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan tarikh tersebut bagi serahan laporan bedah siasat dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV).

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima serahan laporan bedah siasat dan rakaman CCTV serta memohon tarikh baharu bagi melengkapkan kesemua dokumen.

BACA LAGI: Pembelaan mohon pinda nama Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan

BACA LAGI: Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa atas tuduhan abaikan anak

"Pendakwaan masih belum menerima kedua-dua laporan berkenaan, jadi saya mohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Fahmi Abd Moin berkata, beliau bersama anak guamnya perlu hadir sekali lagi ke mahkamah pada tarikh itu untuk pengurusan kes.

“Pihak kami telah pun menerima sebahagian daripada dokumen yang akan (dan) bakal digunakan untuk perbicaraan kelak namun terdapat lagi dua dokumen iaitu laporan bedah siasat serta salinan rakaman CCTV belum lagi diserahkan oleh pihak pendakwaan.

“Atas sebab dan alasan tersebut pihak pendakwaan telah pun memohon satu tarikh lanjut untuk serahan dokumen-dokumen tersebut pada 18 September 2024,” ujarnya.

Sebelum ini, ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun lalu atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lepas.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram