Lans Koperal Alif Monjani didakwa bunuh Nur Farah Kartini


Lans Koperal Muhammad Alif Monjani diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.

ANGGOTA polis berpangkat lans koperal yang juga suspek kes pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Jumaat.

Tertuduh, Muhammad Alif Monjani didakwa membunuh gadis berusia 25 tahun itu dalam kejadian di ladang kelapa sawit ladang di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor di antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.

Tertuduh berusia 26 tahun itu yang kelihatan sugul mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

BACA LAGI: Selisih faham motif pembunuhan Nur Farah Kartini — KP Selangor

BACA LAGI: Kes bunuh Nur Farah Kartini, anggota polis didakwa Jumaat bawah Seksyen 302 KK

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati dan Muhammad Azri Zakaria.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Kuala Kubu Bharu.

Suspek terdahulu tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menaiki kenderaan pacuan empat roda diiringi anggota polis dengan tangan bergari selain berpakaian kemeja T, seluar hitam, serta dikawal rapi penguat kuasa bertugas.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan suspek yang juga seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berumur 26 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hussein juga berkata, siasatan kes itu telah selesai, dan selisih faham dipercayai adalah punca gadis berumur 25 tahun itu dibunuh.

2823676 (1)

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang.

Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga dikatakan kenalan kepada mangsa. Suspek yang berasal dari Melaka juga sudah mendirikan rumah tangga.

Suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Julai lalu sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis Perak mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim, dan sudah lima tahun berkhidmat.

Dalam siasatan kes pembunuhan itu, pasukan penyiasat polis melakukan pelbagai operasi mencari dan mengesan bahan bukti di beberapa lokasi meliputi sekitar daerah Hulu Selangor, Muallim dan Slim River di Perak.

Pencarian yang dijalankan oleh pasukan forensik, termasuk unit skuba itu antara lain membawa kepada penemuan telefon bimbit dalam parit serta kunci kereta dan dompet dalam Sungai Trolak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram