Peniaga pisang goreng larikan 2 budak di Kuala Selangor didakwa di mahkamah pada Khamis


  • 112
  • Rabu, 24 Jul 2024

Suspek berusia 32 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sungai Besar, kira-kira pukul 9 pagi, Khamis.

SEORANG lelaki yang disyaki melarikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, Selangor pada Ahad lalu akan didakwa di mahkamah pada Khamis.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, peniaga pisang goreng berusia 32 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sungai Besar, kira-kira pukul 9 pagi.

Menurutnya, kertas siasatan lengkap sudah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Selangor, pada Selasa.

BACA LAGI: Polis buru suspek culik dan lepas 2 kanak-kanak perempuan di Sungai Buloh

BACA LAGI: Direman 5 hari, polis masih siasat motif pemandu Perodua Bezza 'larikan' 2 budak perempuan di Kuala Selangor

Dua kanak-kanak perempuan dipercayai dibawa lari oleh suspek di sekitar Sungai Buloh pada Jumaat.

"Polis mendapat arahan tuduh untuk dua kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan kanak-kanak daripada jagaan sah.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Majoriti sebelum ini melaporkan tentang penahanan seorang pemandu kereta Perodua Bezza pada 21 Julai lalu selepas didakwa melarikan dua budak perempuan, masing-masing berusia lapan dan enam tahun yang dalam perjalanan pulang mengaji.

Kedua-dua budak tersebut kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mangsa pada pukul 7.45 malam iaitu kira-kira satu jam selepas dilaporkan hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram