[VIDEO] APMM tahan 11 warga asing kendali kapal korek pasir tanpa lesen di Pulau Ketam


  • 112
  • Selasa, 23 Jul 2024

Maritim Malaysia Negeri Selangor menahan sebuah kapal korek yang dikendalikan warga asing di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, pada Isnin. — Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal korek yang dikendalikan warga asing pada kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Maritim Malaysia sudah membuat pemantauan ke atas kapal tersebut beberapa hari sebelum ditahan, selepas menerima aduan daripada komuniti maritim.

Menurutnya, Kapal KM DANGA yang sedang melaksanakan OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS ditugaskan untuk membuat pemeriksaan ke atas kapal korek tersebut.

BACA LAGI: APMM Pulau Pinang cekup 4 nelayan Thailand tidak ikut syarat sah lesen kelas C

BACA LAGI: Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati

"Kapal berkenaan ditahan pada pukul 2 petang ketika sedang melakukan aktiviti pengerukan pasir dasar laut di perairan Pulau Ketam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan warga Indonesia berumur 30 tahun bersama dua kru warga Indonesia dan lapan kru warga China berumur antara 30 hingga 61 tahun.

Jelasnya, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen untuk beroperasi.

"Kesemua kru dan kapal berserta muatan pasir seberat 2,200 meter kubik ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan kesalahan di bawah seksyen 4 (7) Akta Pelantar Benua 1966 kerana melakukan aktiviti pengerukan pasir dasar laut tanpa lesen," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram