CEO bergelar profesor ditahan, seleweng dana RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk beli kereta


Kes tersebut disiasat mengikut Akta SPRM 2009. — Gambar hiasan

SEORANG ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyeleweng dana syarikat berjumlah RM270,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an yang juga merupakan seorang profesor itu ditahan pada pukul 7 malam, Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Jelasnya, susulan penahanan terbabit, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Rabu.

BACA LAGI: MPKS tak cadang wujud tapak penjaja di Eco Grandeur, ada 10 lagi petak kosong sekitar Puncak Alam

BACA LAGI: Pasangan suami isteri pempengaruh disyaki seleweng derma bebas dengan jaminan

"Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Julai.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan wang berjumlah kira-kira RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang dan membeli kereta serta perbelanjaan peribadi yang lain.

"Suspek juga disyaki mengarahkan kakitangan syarikat menyediakan surat untuk bayaran gaji berjumlah kira-kira RM12,000 sebulan sejak Mac 2023 sedangkan surat pelantikan suspek sebagai CEO hanya melayakkannya menerima lima peratus daripada keuntungan tahunan syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim dilaporkan turut mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram