Direman 5 hari, polis masih siasat motif pemandu Perodua Bezza 'larikan' 2 budak perempuan di Kuala Selangor


  • 112
  • Ahad, 21 Jul 2024

Pemandu kereta Perodua Bezza yang didakwa 'melarikan' dua budak perempuan dalam kejadian di Taman Ikan Emas, Kuala Selangor ditahan polis pada Ahad.

SEORANG pemandu kereta Perodua Bezza yang didakwa 'melarikan' dua budak perempuan di Taman Ikan Emas, Kuala Selangor pada Jumaat, ditahan polis awal pagi Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah di rumahnya dekat Jeram, pada pukul 2.40 pagi.

BACA LAGI: Polis buru suspek culik dan lepas 2 kanak-kanak perempuan di Sungai Buloh

BACA LAGI: Hidap jantung berlubang sejak lahir, arwah Danish tak 'miss game' KDA FC, selalu ingat tentang mati

"Ketika ditahan, suspek memberi kerjasama penuh dan tiada cubaan melarikan diri.

"Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.

Susulan tangkapan itu, lelaki terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Klang untuk proses reman.

"Suspek direman selama lima hari bermula hari ini (Ahad) hingga 25 Julai bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ambia berkata, polis masih dalam siasatan untuk mengenal pasti motif dan modus operandi suspek.

"Orang ramai diingatkan supaya mengawasi anak-anak yang berada di luar rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan dibuat ibu mangsa berhubung kejadian itu pada 6.30 petang, Jumaat.

Mohd Ambia dilaporkan berkata, pihaknya mengesan hantaran tular di media sosial berkaitan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 8 dan 6 tahun dilarikan seorang lelaki memandu Perodua Bezza berwarna hitam.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mangsa pada 7.45 malam iaitu kira-kira satu jam selepas dilaporkan hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram