PASANGAN suami isteri yang juga pempengaruh bersama dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan pada Selasa.
Empat individu itu dibebaskan dengan jaminan selepas berakhirnya tempoh tahanan reman sejak 11 Julai lalu.
Memetik laporan Buletin TV3, kesemua suspek itu diperintahkan untuk membayar jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang.
BACA LAGI: MPKS tak cadang wujud tapak penjaja di Eco Grandeur, ada 10 lagi petak kosong sekitar Puncak Alam
BACA LAGI: Pasangan 'influencer' sudah kutip derma RM3 juta sejak 2020
Pasangan tersebut dibebaskan dengan bayaran jaminan. — The Star
Manakala, RM20,000 diarah bayar secara tunai dan bakinya, RM80,000 tanpa cagaran masing-masing dengan seorang penjamin.
Menurutnya, empat individu itu juga perlu hadir ke pejabat SPRM sekali setiap bulan untuk melaporkan diri sehingga siasatan selesai.
Terdahulu, SPRM mendapat kebenaran untuk menyambung reman empat individu tersebut yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Perintah itu bagi menyambung reman selama tiga hari sehingga Selasa dikeluarkan Majistret Siti Zahirah Zaidon selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Ahad berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada Ahad lalu.
Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan kesemua suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
SPRM juga sebelum ini membekukan kira-kira 20 akaun bank semua suspek yang membabitkan nilai lebih RM700,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam.
Sumber SPRM turut mendedahkan bahawa, akaun itu termasuk akaun peribadi dan syarikat, disyaki telah digunakan untuk menerima sumbangan dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram