'Kalau pesakit warga asing ada insurans, hantar terus ke swasta elak bebankan hospital awam'


  • Massa
  • Rabu, 24 Jul 2024

Lambakan pendatang asing khususnya pelarian Rohingya semakin menguasai sektor kesihatan di hospital awam negara. — Gambar hiasan

LAMBAKAN warga Rohingya di Malaysia mencetuskan kerisauan masyarakat tempatan ekoran sektor kesihatan negara didakwa semakin dikuasai golongan terbabit.

Kemudahan serta kelengkapan hospital awam khususnya menjadi pilihan etnik pelarian tersebut terutamanya dalam merawat pesakit kronik dan wanita bersalin.

Bertitik tolak daripada itu, segelintir rakyat meluahkan rasa tidak puas hati ekoran sektor tersebut dikatakan semakin dimonopoli warga pendatang yang disifatkan tidak layak menerima kelebihan dimiliki rakyat tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura salah rumah, pasangan Rohingya tersengih kena sergah 'owner' di Seremban

BACA LAGI: Rohingya jadi tauke 'car wash', siap upah pekerja warga asing jadi kuli di Klang

Mengulas lanjut hal itu, pegawai perubatan Dr Atiqah Shazwani Ahad, 30, akur dengan dakwaan warga maya berhubung lambakan pesakit Rohingya di hospital awam.

Jelasnya, bidang perubatan Malaysia mahupun peringkat global sememangnya tidak mengamalkan prinsip pilih kasih walaupun berlainan asal usul dan warganegara.

"Perubatan sedunia memang tidak membezakan rawatan sesama manusia, tidak kira mereka berlainan agama sekali pun, semua harus diberikan rawatan terbaik.

"Namun, perlu diakui bahawa Malaysia memang baik hati, lambakan pendatang dalam negara sudah tidak terkawal begitu juga dalam sektor kesihatan di hospital awam.

"Pelarian Rohingya merupakan pemegang kad UNHCR, jadi kos rawatan mereka juga akan diberikan potongan harga separuh, secara tidak langsung mengundang lebih ramai kelompok berkenaan mendapatkan rawatan di hospital awam," katanya kepada Majoriti.

1796343

Dr Atiqah Shazwani Ahad merupakan bekas pegawai perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.

Dalam pada itu, Atiqah yang sebelum ini pernah bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor dan Hospital Tawau, Sabah menyarankan tiga pendekatan boleh diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu berbangkit.

"Tetapkan kriteria tertentu bagi setiap pesakit warga asing yang datang mendapatkan rawatan, hanya penyakit kecemasan sahaja yang patut diberikan keutamaan.

"Kedua, sebaiknya minta bayaran deposit daripada mereka sebelum rawatan diberikan. Hospital awam sentiasa mempraktikkan kaedah rawatan dahulu sebelum bayaran, bagi mengawal kemasukan pesakit asing, sebaiknya mereka dikenakan cas terlebih dahulu.

"Ketiga, kalau pesakit warga asing khususnya Rohingya ada insurans, salurkan terus ke swasta, jangan terus terima kerana ada di antara mereka yang sengaja mengambil kesempatan," katanya.

Terdahulu, tinjauan Majoriti di sekitar Klang, Selangor mendapati, kumpulan etnik itu kini bergelar majikan kepada warga asing lain yang difahamkan lebih selesa bekerja di bawah mereka ekoran upah dan keperluan tempat tinggal disediakan lebih terjamin.

Menganggap ia sebagai salah satu cara membantu warga asing lain mendapatkan pekerjaan, kebanyakan pekerjanya merupakan warga Indonesia, Myanmar dan Nepal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram