'Kualiti' lelaki Malaysia sebagai pelindung dipertikai, punca kes remaja perempuan hilang meningkat — Kamal Affandi


  • Massa
  • Selasa, 23 Jul 2024

Nur Farah Kartini ditemukan maut selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.

LAMBAKAN kes orang hilang khususnya golongan remaja perempuan kebelakangan ini mencetuskan pertikaian berkaitan punca dan faktor menyumbang kepada hal itu.

Terbaharu, penemuan mayat Nur Farah Kartini, 25, merungkai segala persoalan susulan kehilangannya yang dilaporkan sejak 10 Julai lepas.

Kes itu turut membawa kepada tangkapan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa terpalit dalam isu percintaan dengan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut.

BACA LAGI: Remaja perempuan asal Kedah hilang sejak 5 hari, 'trace' iPhone kali terakhir dikesan di Johor Bahru

BACA LAGI: Kanak-kanak hilang, pemilik kafe tawar RM10,000 jika dapat kesan Leo Jia Hui

Susulan kejadian itu, beberapa lagi kes kehilangan turut berlaku membabitkan kanak-kanak serta remaja perempuan yang dilaporkan hilang bersama rakan kenalannya.

Pandangan masyarakat kini menganggap pengaruh teman lelaki sebagai punca utama pada setiap kes remaja perempuan hilang yang berlaku dalam negara.

Tegas menyokong stigma tersebut, fasilitator dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan ia sebagai fakta yang bukan direka-reka.

Jelasnya, isu kehilangan remaja perempuan kebanyakannya berpunca daripada pengaruh dan ajakan teman lelaki namun, masyarakat sentiasa menyalahkan ibu bapa dan mangsa.

"Remaja perempuan ikut teman lelaki adalah punca kes orang hilang, itu fakta yang tidak boleh disangkal. Kalau dahulu mungkin ia boleh dikatakan persepsi tetapi sekarang ia hakikat yang harus ditelan.

"Tetapi perlu disedari bahawa punca sebenar dalam kes ini adalah si pelaku yang merupakan kaum lelaki.

"Ia secara tidak langsung mencetuskan persoalan sejauh manakah kualiti kaum lelaki Malaysia yang sepatutnya menjadi pelindung kepada wanita," katanya kepada Majoriti.

2750782

Fasilitator dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Tambahnya, situasi menyalahkan ibu bapa dan mangsa sudah lapuk ditelan dek zaman kerana fokus serta pemikiran masyarakat perlu lebih meluas dan melihat secara lebih terperinci.

"Golongan lelaki sepatutnya bangkit dan melihat perkara ini dengan lebih serius, berhenti menyalahkan sebelah pihak kerana puncanya adalah pelaku yang tidak bertanggungjawab.

"Dah berpuluh tahun kita asyik menyalahkan orang sama, bila kata berkenalan di aplikasi atas talian disalahkan pula teknologi dan kementerian komunikasi, sedangkan pada dasarnya bagaimana budak bawah umur boleh memiliki telefon pintar, siapa yang menjual dan memberikannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trend laporan terhadap insiden orang hilang kekal sekitar 900 kes setiap tahun dari 2020 sehingga tahun ini.

Katanya, trend dalam tempoh lima tahun itu tidak menyaksikan peningkatan kes orang hilang seperti didakwa di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram