'Saya bukan katak politik', anak Najib Razak nafi lompat parti


  • Politik
  • Selasa, 23 Jul 2024

Mohamad Nizar Mohamad Najib (kiri) menafikan dakwaan beliau cuba untuk membelot parti pembangkang dan menjatuhkan kerajaan Pahang sedia ada. — The Star

'SAYA bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan maruah dan menjual diri kepada mana-mana pembida yang tinggi'.

Demikian kenyataan balas anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib yang menafikan dakwaan beliau bertemu pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Pahang seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Mohamad Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, menegaskan tuduhan itu sebagai cerita dongeng yang tidak pernah berlaku sama sekali.

BACA LAGI: Najib bebas: Tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan Negara, tegas Fahmi Fadzil

BACA LAGI: Ingkar amaran menteri, media asing lapor jumlah hukuman penjara Najib Razak dikurangkan

Katanya, beliau tidak akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarganya perjuangkan bersama pemimpin lain.

Tegasnya, tidak mungkin beliau belot dengan mengkhianati Kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang amat beliau kasihi dan hormati.

"Beliau (Wan Rosdy) juga telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya, Pekan. Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati.

"Mana mungkin saya seorang Exco Kerajaan Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Peramu Jaya) tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang diberikan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

2094641

Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara selama 6 tahun di Penjara Kajang atas sabitan kes SRC international. — The Star

Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pekan meminta supaya fitnah yang hanya mahu mencari keuntungan politik murahan itu dihentikan.

"Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) (Hadis Riwayat al-Bukhari).

"Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama Umno, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang," katanya.

Terdahulu, tular satu poster di laman media yang mendakwa 'Pahang sedang goyang! New State Government akan naik. Anak Bossku sudah jumpa PN'.

Beliau dalam pada masa sama turut berkata, bapanya, Datuk Seri Najib Razak sentiasa berpesan supaya terus setia kepada parti walau bagaimana susah sekali pun keadaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram