Bayaran yuran transaksi Shopee naik hingga 3.5 peratus bermula 1 Ogos


  • Bizz
  • Isnin, 22 Jul 2024

Yuran transaksi tertakluk kepada 8 peratus SST atau cukai perkhidmatan, menjadikan kadar yuran transaksi akhir sebanyak 3.78 peratus. — Gambar hiasan

SHOPEE mengumumkan bahawa ia akan menyemak semula yuran transaksi untuk penjual daripada 2.0 peratus kepada 3.5 peratus berkuat kuasa 1 Ogos.

Semua yuran transaksi juga tertakluk kepada 8 peratus SST atau cukai perkhidmatan, menjadikan kadar yuran transaksi akhir sebanyak 3.78 peratus.

Syarikat tersebut menjelaskan bahawa semua penjual 'Marketplace' tempatan dan penjual 'Mall' dikenakan yuran transaksi bagi menampung yuran masuk pembayaran yang dikenakan kepada semua transaksi dalam talian oleh pembekal perkhidmatan apabila pesanan berjaya dibuat pembeli.

BACA LAGI: Shopee tak rekrut pekerja melalui mesej

BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga

Yuran transaksi akan ditolak secara automatik daripada pembayaran penjual apabila pesanan selesai dibuat.

Justeru, pengumuman itu telah mengakibatkan warga maya khususnya penjual Shopee kecewa dan terkesan dengan hal berkenaan.

Jelas seorang penjual pakaian dalam talian yang hanya ingin dikenali sebagai Fari berkata, semakan harga itu agak tinggi berbanding kebiasaannya.

"Peningkatan harga ini akan mengaut keuntungan kami. Penjual akhirnya akan mengalami kerugian untuk beberapa produk berharga rendah. Saya mungkin perlu menyemak semula harga untuk beberapa item dan melihat strategi harga lain," katanya ketika dihubungi LifestyleTech.

Seorang lagi penjual, Nadia berasakan ia mungkin tidak lagi sesuai untuk meneruskan perniagaan di Shopee.

"Saya rasa keputusan ini agak teruk kerana tahun ini terdapat kenaikan bayaran lain untuk penjual di Shopee. Saya mungkin tidak mahu menjual di Shopee lagi, saya akan meminta pelanggan menghubungi saya terus untuk membuat pembayaran bagi setiap pesanan dibuat," katanya.

Selain daripada yuran transaksi, Shopee juga turut mengenakan yuran komisen yang berbeza mengikut kategori produk.

Bayaran perkhidmatan turut dikenakan untuk penjual terpilih dan yuran penghantaran adalah berdasarkan medium penghantaran yang dipilih.

LifestyleTech dalam pada sama telah menghubungi Shopee untuk mendapatkan maklumat lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram