
GERAI- gerai yang sudah tidak beroperasi di sekitar Jalan 4/155 di Bukit OUG, Kuala Lumpur mencacatkan pemandangan di kawasan tersebut apabila terdapat barang keperluan berniaga yang telah rosak selepas ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Hal itu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penduduk di sekitar kawasan itu khususnya penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah dan Kompleks Komuniti Muhibbah dan pengguna Kompleks Komuniti Muhibbah.
“Sesetengah barangan, seperti meja dan kerusi dikunci pada tiang lampu, dan ia telah terbiar sejak lebih setahun.
“Kemungkinan pemilik menggunakan ruang itu sebagai tempat simpanan barang peribadi,” kata Fauziah Ramlan, 60, salah seorang penduduk PPR berkenaan.
BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'
Seorang lagi penduduk dari Platinum OUG Residence, yang hanya mahu dikenali sebagai Sim, turut menyuarakan kebimbangannya mengenai kawasan yang berpotensi menjadi tempat melepak bagi kegiatan aktiviti yang tidak diingini.
“Saya selalu nampak orang di situ pada lewat malam.
“Jika barang itu terbiar, kenapa tidak dialihkan?
Penjaja terbabit mengunci meja dan kerusi pada tiang lampu.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memiliki dewan di sana dan saya pasti mereka sudah mengambil maklum mengenai keadaan kawasan itu,” tambah Sim.
Pada tinjauan baru-baru ini, StarMetro menemukan beberapa kanopi dengan fabrik yang koyak dan struktur yang yang tidak stabil.
Ketika dihubungi, pegawai penguatkuasa DBKL cawangan Seputeh berkata pihaknya kerap menjalankan operasi pembersihan tapak niaga yang mengganggu laluan awam.
“Kami akan meneliti perkara ini, tetapi kami berharap penduduk yang menghadapi masalah serupa boleh membuat laporan kepada ADU@KL di adukl.dbkl.gov.my," katanya.
Pegawai itu turut memaklumkan pemilik terbabit boleh dikenakan notis kompaun di bawah Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan meninggalkan barang di tempat awam.
“Kami akan mengeluarkan notis dan pemilik akan diberi masa seminggu untuk membersihkan kawasan itu.
“Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, semua barang akan dibawa ke depoh Cheras.
"Selepas tempoh tertentu, barangan tersebut akan dilelong manakala barangan milik warga asing tidak akan dipulangkan," tegasnya. — The Star/BAVANI M
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram