SELEPAS ramai dibuang kerja akibat penularan Covid-19 sejak empat tahun lalu, kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk menjalankan aktiviti perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga.
Bagaimanapun di Malaysia, mereka yang berhasrat untuk berniaga perlu mengikut undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
Ini kerana tidak semua lokasi dibenarkan untuk berniaga, seperti yang dialami para penjaja di sekitar kawasan Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor.
BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga
BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'
Rata-ratanya meluahkan kekecewaan mereka selepas permohonan untuk menjalankan perniagaan di kawasan itu ditolak pihak penguat kuasa.
Salah seorang peniaga makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Addy memberitahu, dirinya dan beberapa peniaga di kawasan tersebut sudah dua kali pergi ke pejabat Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk memohon lesen berniaga di tapak berkenaan, namun usahanya masih gagal.
Kongsinya, meskipun sudah beberapa kali diusir pihak berkuasa tempatan (pbt), namun Ebi terpaksa meneruskan juga bisnesnya bagi menyara kehidupannya sebagai ketua keluarga.
"Kebiasaannya MPKS akan datang dan 'ganggu' kami peniaga di sini dua kali sebulan. Adakalanya kami diberi kompaun dan notis agar tidak membuka tapak niaga di sini.
"Kami tiada niat mahu mencabar pihak berkuasa atau undang-undang, tapi ini sajalah mata pencarian kami.
"Bukannya saya langsung tidak berbuat apa-apa, saya dan rakan-rakan peniaga ada berjumpa pegawai MPKS pada Mei lalu dan buat permohonan namun masih belum ada kelulusan hingga sekarang.
"Saya dahlah buka gerai francais, makan modal RM15,000 dengan bantuan rakan-rakan, jadi saya sangat terkesan dengan keadaan ini," katanya ketika ditemui Majoriti.
Rata-ratanya penjaja meluahkan kekecewaan mereka selepas permohonan untuk menjalankan perniagaan di para penjaja di sekitar kawasan Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam ditolak pihak penguat kuasa. — Gambar Hiasan
Ditanya tentang maklum balas MPKS berhubung perkara tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, mereka dimaklumkan bahawa tapak berkenaan sebenarnya dimiliki pihak Eco Grandeur sendiri.
Justeru, sebarang operasi perniagaan di atas tapak berkenaan seharusnya mendapat keizinan pemilik tanah tersebut.
Bagaimanapun jelas Addy lagi, mereka dimaklumkan bahawa MPKS akan membuat perbincangan bersama pengurusan Eco Grandeur bagi mencari penyelesaian menang-menang buat semua pihak terlibat.
"Sama ada Eco akan lepaskan (kami berniaga) atau tidak, itu kami tidak tahu.
"Saya harap ada pertimbangan daripada mereka untuk membenarkan kami berniaga, kami pun tidak mahu berniaga dalam serba ketakutan," ujarnya.
Difahamkan, MPKS akan membuat perbincangan bersama pengurusan Eco Grandeur bagi mencari penyelesaian menang-menang buat semua pihak terlibat.
Bagi peniaga minuman yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah berkata, para penjaja berharap agar mereka diberi kebenaran untuk membuka tapak niaga di kawasan itu, berikutan lokasinya yang strategik berbanding kawasan lain.
Malah jelasnya, kawasan itu menjadi lebih meriah dan 'hidup' dengan kehadiran para penjaja.
"Memang ada tapak yang dibenarkan berniaga di luar Eco Grandeur, namun sudah penuh dan lokasi ini sebenarnya lebih ramai pengunjung dan sangat membantu kami peniaga meraih pendapatan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya dikenali sebagai Mimi Ratna, berkata, bapanya sudah memohon untuk membuka tapak niaga di kawasan itu, namun masih belum ada respons yang diberikan.
"Undang-undang di sini memang ketat, MPKS akan datang selalu untuk buat pemeriksaan ke atas penjaja.
"Kami hanya berharap dapat dipertimbangkan permohonan untuk berniaga di sini, lagipun kawasannya yang luas bagi saya tidak mengganggu penduduk lain," ujarnya lagi.
Majoriti dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak MPKS dan Eco Grandeur berhubung perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram