PIHAK pengurusan Kuala Lumpur City FC mengakui isu tunggakan gaji yang dihadapi mereka akan menarik perhatian badan penganjur liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas ini.
Menurut Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, sebelum ini isu yang dihadapi mereka hanya diketahui oleh pihak dalaman.
Namun selepas ia menjadi pengetahuan umum terutamanya menerusi pendedahan ketua pasukan, Paulo Josue, pasti MFL akan mula memerhatikan situasi dialami kelab Lembah Klang itu.
BACA LAGI: Isu tunggakan KWSP KL City: 'Ia akan selesai secepat mungkin' — Abdullah Sani
BACA LAGI: Tiada obligasi untuk DBKL salur peruntukan kepada KLFA, KL City — Zaliha Mustafa
Syed Yazid Syed Omar
"Sebelum ini tiada, tapi lepas ni mesti ada," kata Syed Yazid secara ringkas kepada Majoriti pada Jumaat.
Yazid berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras selepas acara sama melibatkan Presiden KLFA, Abdullah Sani Abd Hamid.
Dalam masa yang sama, Syed Yazid turut mengatakan tiada sebarang aduan rasmi dilakukan oleh para pemain berkaitan isu gaji kepada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Yazid juga turut hairan macam mana kelab yang bermasalah seperti KL City berjaya memperoleh perlesenan daripada First Instance Body (FIB).
Dia yang juga merupakan Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd mahukan penjelasan daripada FIB berkenaan perkara tersebut.
"Kita tahu kewangan kita sangat tidak sihat jadi memang kita boleh cakap yang kewangan kita tidak stabil. Jadi pada pandangan saya, kita memang sukar untuk beraksi di Liga Super dengan hutang yang banyak.
"Bukan sahaja pembayaran gaji, KSWP dan ada lagi bayaran lain seperti pengangkutan, stadium, makan dan minum, hotel jadi sebab itulah saya rasa memang sukar untuk kita bermain di Liga Super.
"Tetapi saya tidak tahu bagaimana FIB boleh memberikan lesen kepada KL City FC, jadi sebab itulah saya nak tengok sendiri dokumen yang dihantar KL City FC kepada FIB dan meminta penjelasan daripada mereka berhubung isu ini," kata Syed Yazid.
Melihat kepada perkara ini, KL City berdepan potensi untuk mengalami pemotongan mata dan hukuman denda. Bagi Abdullah Sani, mereka perlu bersedia dalam menghadapi perkara tersebut.
"Yang penting adalah keputusan, kalau kita nampak keputusannya menunjukkan kesungguhan itu berlaku, maka ia berlaku.
"Jadi kita tidak ada persoalan mengenai itu, peranan itu di dalam (pengurusan), jadi kita tahu mengenai itu," ujar Abdullah Sani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram