Isu tunggakan KWSP KL City: 'Ia akan selesai secepat mungkin' — Abdullah Sani


  • Podium
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Abdullah Sani (tengah) mengatakan usaha sedang dilakukan bagi menyelesaikan isu tunggakan KWSP pemain KL City. — Majoriti/NAZREEN IZAHAR

PENGURUSAN Kuala Lumpur City FC mengatakan isu tunggakan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) para pemain akan diselesaikan secepat mungkin.

Menurut pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Abdullah Sani Abd Hamid, usaha itu sedang dilakukan dan dia mengatakan ia dalam proses untuk diselesaikan.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan terdapat tunggakan pembayaran KWSP sebanyak RM700,000.

BACA LAGI: Tiada obligasi untuk DBKL salur peruntukan kepada KLFA, KL City — Zaliha Mustafa

BACA LAGI: Pihak pengurusan KL City usaha bayar gaji 2 bulan

"Proses untuk menyelesaikan tunggakan KWSP itu sedang berjalan dan saya berharap ia akan selesai secepat mungkin," kata Abdullah Sani secara ringkas kepada Majoriti.

Abdullah Sani berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Berkenaan tunggakan gaji ketua pasukan, Paulo Josue, proses perbincangan sedang dilakukan untuk memastikan ia dapat dilunaskan.

Sebelum ini, Josue mendedahkan yang dia sudah tidak mendapat gaji selama tujuh bulan.

Menurut Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, pihaknya sedang berusaha mendapatkan "diskaun" berkaitan pembayaran gaji Josue.

Kata Nokman, pihaknya sedang cuba mendapatkan diskaun daripada Josue bagi tempoh dimana KL City tidak beraksi kerana pertandingan liga tidak berjalan.

Sementara bagi pemain-pemain lain, perbincangan juga sudah dilakukan untuk memastikan usaha pembayaran dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Para pemain mengetahui yang kelab sedang bertungkus-lumus menyelesaikan isu ini dan kerana itu mereka sedia menanti kemelut tunggakan gaji selesai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram