Selain Pasar Borong Selayang, 3 lagi lokasi jadi saksi abang kawasan 'naik kepala', peras ugut peniaga


  • Massa
  • Ahad, 21 Jul 2024

Ada dakwaan kononnya kumpulan kongsi gelap dipercayai berperanan sebagai pelindung kepada peniaga. — Gambar hiasan

ISU melibatkan 'abang kawasan' meminta wang perlindungan pernah menjadi masalah yang terpaksa dihadapi sebilangan besar peniaga sama ada di pasar borong atau pengusaha perniagaan lain.

Masalah itu sudah lama berlarutan namun dipercayai masih berlanjutan sehingga kini.

Lembah Klang dikenal pasti sebagai lokasi ‘panas’ yang mana aktiviti pemerasan sedemikian berlaku dengan begitu meluas.

BACA LAGI: [VIDEO] Abang kawasan 'pau', tumbuk warga asing depan anak sampai menangis di pasar tani Kedah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Abang kawasan' berkain pelikat terima pujian maki mat rempit di Kemaman

Kumpulan kongsi gelap dipercayai berperanan sebagai pelindung kepada peniaga, terutamanya mereka yang merupakan pendatang asing tanpa dokumen sah.

Mereka sering kali menyamar sebagai pelindung yang menawarkan keselamatan kepada peniaga, tetapi realitinya tidak seperti dijanjikan.

Peniaga yang enggan atau gagal membayar wang perlindungan sering kali berdepan ancaman fizikal dan keganasan.

Keadaan itu mewujudkan perasaan ketakutan dalam kalangan peniaga hingga akhirnya mereka terpaksa akur dengan tuntutan pemerasan tersebut.

Berikut Majoriti senaraikan antara kes pemerasan yang pernah dilaporkan berlaku di Malaysia:

1) Pasar Borong Lama Selayang

2

Kegiatan memberi wang perlindungan di Pasar Borong Lama Selayang sudah wujud lebih 10 tahun. — Gambar hiasan

Pada 2019, media pernah melaporkan di Pasar Borong Lama Selayang, sekurang-kurangnya 80 peniaga warga asing dipercayai bernaung dengan kumpulan kongsi gelap sehingga mereka berupaya memonopoli tapak perniagaan haram di luar bangunan utama pasar.

Beberapa peniaga asing di pasar borong tersebut mendapati mereka dikenakan ‘wang perlindungan’ atas nama sewa harian serendah RM50 bagi satu tapak.

Kegiatan itu sudah wujud lebih 10 tahun, namun masih berleluasa termasuk berselindung di sebalik nama persatuan yang tidak aktif.

Selain isu monopoli perniagaan pasar borong, peniaga asing turut dikesan mencuri bekalan elektrik dari surau sementara yang dibina di bawah jambatan berhampiran pasar untuk kegunaan tapak haram mereka.

Lebih parah, seorang ahli persatuan dikatakan pernah menerima ancaman bunuh kerana melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

2) Sungai Jarom, Kuala Langat

3

Polis pernah menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang terpaksa membayar wang perlindungan. — Gambar hiasan

Polis menahan seorang lelaki yang berlagak samseng dan meminta wang perlindungan daripada seorang wanita tempatan di sekitar Sungai Jarom, Kuala Langat, Selangor pada Oktober 2022.

Polis Daerah Kuala Langat memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 34 tahun pada pukul 2 petang.

"Polis mengesan dua video tular yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada 23 Oktober, mengenai kejadian pemerasan wang perlindungan dan kebakaran kain rentang khemah di sebuah kedai runcit di sekitar kawasan Sungai Jarom.

"Mangsa pernah membuat laporan polis menyatakan sebelum ini dia dihubungi seorang lelaki tempatan yang meminta wang perlindungan kerana menjaga kedai miliknya," katanya.

3) Kawasan Perindustrian Sungai Penaga

4

Pengurus kilang diperas ugut di Kawasan Perindustrian Sungai Penaga, USJ 1, Subang Jaya. — Gambar hiasan

Seorang lelaki yang cuba mendapatkan wang perlindungan dengan melakukan peras ugut terhadap pengurus kilang ditahan polis pada Jun 2018.

Ketika kejadian, suspek bersama dua rakannya datang ke kilang berkenaan di Kawasan Perindustrian Sungai Penaga, USJ 1, Subang Jaya, Selangor bagi mendapatkan sejumlah wang daripada pengurus terbabit, yang didakwa mereka sebagai upah menjaga kawasan itu.

Selain menuntut wang, mereka turut melakukan ugutan dan mendakwa mereka mempunyai hubungan baik dengan polis Subang Jaya.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek datang ke kilang berkenaan pada pukul 9.50 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vios dan mereka pergi ke pejabat pengurusan kilang sebelum meminta pengurus membayar sejumlah wang.

4) Kuching, Sarawak

6

Kontraktor berkenaan bertindak membuat laporan polis selepas 6 individu mengugut akan menganggu kerja-kerja pembinaan. — Gambar hiasan

Enam lelaki yang mengaku 'penjaga kawasan' diberkas polis kerana memeras ugut seorang kontraktor di sebuah tapak pembinaan di pusat bandar raya Kuching, Sarawak pada Jun 2020.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, semua suspek sebelum ini berjumpa dengan kontraktor tersebut pada 19 Jun untuk meminta wang perlindungan.

Susulan itu, kontraktor berkenaan bertindak membuat laporan polis selepas 6 individu itu mengugut akan menganggu kerja-kerja pembinaan sekiranya tidak menerima bayaran.

Hasil siasatan, semua suspek turut melakukan modus operandi yang sama di sebuah tapak lain dengan meminta wang perlindungan sebanyak RM500. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram