TIDAK cukup hanya dicurangi, seorang lelaki terpaksa menelan hakikat pahit dirinya ditipu hidup-hidup oleh bekas isteri yang mengakui kononnya memiliki gelaran doktor falsafah (PhD).
Perkara itu didedahkan mangsa, seorang ahli perniagaan yang hanya ingin dikenali sebagai Putra.
Jelas lelaki berusia 38 tahun itu, bekas isteri yang menggunakan nama samaran sebagai Dr Shaz atau Dr Khan tidak hanya memperdaya seluruh ahli keluarga, malah turut melibatkan orang luar.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang
Berkongsi tentang perkara tersebut, Putra mendedahkan, perasaan syak wasangka timbul selepas bekas isteri didapati mengambil wang syarikat sebanyak RM38,000 pada 20 Jun lalu.
Katanya, tindakan itu menyebabkan dia dan adiknya mula mempersoalkan tentang status pekerjaan wanita tersebut.
"Agak pelik kenapa dia nak ambil wang syarikat sebanyak itu sedangkan dia maklumkan pendapatannya sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM) mencecah lebih RM11,000 (asas) sebulan.
"Kenapa perlu ambil duit syarikat yang dia sendiri tahu itu bukan miliknya?" ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.
Putra memaklumkan, dia memutuskan untuk membuat sendiri pemeriksaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyemak status sebenar pengajian Shaz.
"Saya amat terkejut apabila mengetahui bekas isteri yang selama ini mendakwa dia menghabiskan pengajiannya, (hanya) berstatus withdrawal sejak tahun 2020.
"Malah status geran pinjaman sebanyak RM200,000 yang ditawarkan kepadanya juga tidak wujud sama sekali," katanya yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2010.
Putra membuat sendiri pemeriksaan di UPM bagi menyemak status pengajian Shaz.
Sehubungan itu, lelaki berasal dari Perak itu kemudian membuat pula pemeriksaan di UM dan mendapati surat tawaran sebagai pensyarah gred DS51 yang ditunjukkan bekas isterinya adalah palsu.
Tegasnya, surat tersebut menggunakan nama dekan dan kepala surat universiti awam tersebut, namun UM sendiri menafikan kesahihan surat berkenaan.
"Saya telah ke pejabat dekat Fakulti Perubatan dan menunjukkan surat itu dan pihak UM menunjukkan bahawa tandatangan dekan fakulti dan kepala surat sebenar juga adalah berbeza berbanding yang ditunjukkan kepada saya," jelasnya.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sepanjang 2020 hingga 2023, dia langsung tidak dimaklumkan tentang keputusan wanita berusia 35 tahun itu untuk berhenti belajar.
Sebaliknya, bekas isteri masih meneruskan 'drama' pengajiannya dengan meminta kebenaran daripada Putra untuk menetap bersama keluarganya di Pulau Pinang buat sementara waktu.
"Kami sebelum ini menjalani kehidupan rumah tangga perhubungan jarak jauh (PJJ) atas alasan dia mahu menumpukan perhatian pada proses pembelajaran PhD secara dalam talian.
"Saya menetap di Perak untuk menguruskan bisnes, manakala bekas isteri dan anak-anak tinggal bersama bekas keluarga mertua di Pulau Pinang sementara waktu," jelasnya.
Shaz sering mengenakan kot makmal dan menghantar gambar kepada Putra sebagai bukti.
Mengulas lanjut, Putra memberitahu bahawa keluarga bekas mertua amat mementingkan soal pendidikan anak tunggal mereka.
Menurutnya, sebelum berkahwin pada 2010, ibu bapa Shaz juga menyatakan bahawa dia mahu anaknya mencapai pendidikan tertinggi dan untuk menuruti cita-cita tersebut, dirinya akur dan membenarkan bekas isteri sambung belajar.
"Bekas isteri berjaya menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di sebuah universiti separa swasta, manakala Sarjana Linguistik Gunaan di UPM.
"Selepas tamat Ijazah Sarjana, saya dimaklumkan Shaz ditawarkan biasiswa dan geran untuk menyambung PhD di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM sama pada tahun 2017 dan mengakui tamat belajar pada hujung 2023.
"Namun rupa-rupanya dia sudah berhenti belajar pada tahun 2020 lalu," katanya.
Ujar Putra lagi, tindakan Shaz yang sering berkongsi cerita tentang tugasan pengajian, pensyarah, data penyelidikan dan pelbagai perkara berkait lain menyebabkan dirinya sama sekali tidak mencurigai perbuatan bekas isteri.
Apatah lagi, dia selama ini sering memberi nasihat perubatan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain.
"Dia siap mengaku bekerja di sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang. Perkara ini sangat tidak betul, macam mana orang yang tidak ada langsung latar belakang bidang kesihatan boleh berani keluar masuk hospital dan bagi nasihat kesihatan lagi," adunya.
Majoriti sebelum ini mendedahkan kisah rumah tangga Putra yang bergolak akibat kehadiran orang ketiga, yang juga merupakan adik iparnya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram