ISU haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau yang berkeliaran berterusan mengganggu ketenteraman penduduk khususnya para peniaga di Bandar Agacia dekat Kampar, Perak.
Bukan sebulan dua, tetapi masalah tersebut sudah membelenggu peniaga di kawasan yang terkenal dengan reka bentuk bangunan unik itu sejak lebih lima tahun lalu.
Sudah tidak tahan dengan itu, seorang peniaga yang enggan mendedahkan namanya berkata, kehadiran lembu dan kerbau yang hampir setiap hari berada di sekeliling premisnya untuk 'menikmati' rumput adakalanya mengganggu operasi harian mereka.
Ini kerana katanya, selepas makan, haiwan ternakan tersebut kebiasaannya akan berak merata-rata hingga kawasan itu dipenuhi dengan tahi dan mendatangkan bau yang kurang enak.
Sekawan lembu meragut rumput di sekitar Bandar Agacia.
"Biasanya lembu-lembu tersebut akan datang pukul 6 petang ke atas, dalam tiga atau empat kali seminggu, mesti akan lebih 20 ekor yang datang.
"Kadangkala sampai dua hingga tiga jam. Kalau mereka datang malam, bersiap sedia sajalah esok pagi mesti penuh tahi atas jalan. Selain tahi, lembu tersebut juga akan sepahkan sampah di kawasan sekitar.
"Jadi yang nak membersihkannya siapa kalau bukan kami? Penat sangat kalau hampir setiap hari begini," katanya kepada Majoriti.
Ditanya tentang respons pemilik haiwan ternakan berkenaan, peniaga tersebut memberitahu, mereka sudah beberapa kali dimaklumkan tentang keadaan itu.
Peniaga meluahkan kebimbangan terhadap isu lembu berkeliaran yang masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Malangnya, tuan punya badan seolah-olah tidak memperdulikan aduan peniaga dan berterusan membawa binatang itu masuk ke dalam Bandar Agacia untuk meragut rumput di sana.
"Kami dah minta pemilik supaya tidak lagi membawa lembu dan kerbau berkeliaran di sekitar sini, namun orangnya degil. Tetap sahaja datang, makin banyak pula tu (jumlah lembu).
"Kita pun tidak mahulah sampai bergaduh, cuma harap agar mereka boleh bertimbang rasa.
"Sini kawasan yang sepatutnya jadi tumpuan pelancong, tetapi sudah dicemari dengan tahi lembu. Kalau orang tengok banyak binatang, tidak mustahil mereka berfikir beberapa kali untuk singgah," kongsinya.
Mengulas lanjut, peniaga itu berkata, meskipun aduan sudah disuarakan kepada Majlis Daerah Kampar (MDKpr), masih tiada penyelesaian yang diterima sehingga kini, jauh sekali tindakan tegas diberikan kepada empunya ternakan.
Hanya apabila aduan dibuat, barulah tindakan dilaksanakan, itu pun hanya seketika sebelum masalah itu berulang kembali.
"Saya harap pihak MDKpr ambil tindakan tegas dalam menangani isu ini, aduan pun dah dibuat setiap tahun, tapi tak nampak bayang ia boleh diselesaikan dalam masa terdekat," ujarnya.
Bandar Agacia dikenali sebagai kawasan dengan reka bentuk bangunan unik.
Sementara itu, seorang lagi penduduk memberitahu, selain di Bandar Agacia, isu haiwan berkeliaran di sekitar kawasan Kampar turut mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, sudah banyak kemalangan yang berlaku melibatkan kenderaan orang awam dengan lembu dan kerbau liar atau yang tidak bertuan.
Justeru, individu tersebut menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan satu akta khusus kepada golongan penternak.
"Mereka perlu diwajibkan untuk membuat penandaan dan direkodkan. Jika terdapat ternakan yang tidak bertanda (subang) maka ia akan dianggap tidak mempunyai tuan.
"Kerajaan akan menyita ternakan tersebut dan kompaun akan dikeluarkan bagi penternak yang datang menuntutnya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram