[VIDEO] Penjenayah dicekup sorok wang tunai, kad kredit penumpang pesawat dalam stoking, cuba larikan diri sebaik tiba di Vietnam


  • Tular
  • Rabu, 17 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan kejadian kecurian di dalam sebuah pesawat dari Kuala Lumpur menuju ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam pada awal Julai lalu.

SEKUMPULAN lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri sejumlah wang tunai dan kad kredit penumpang di dalam sebuah pesawat dari Kuala Lumpur menuju ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Insiden pada 3 Julai itu didedahkan seorang kakitangan sebuah syarikat pelancongan yang menyaksikan kejadian tersebut, sebelum memuat naik rakaman itu menerusi laman Instagram dan TikTok milik syarikatnya pada 5 Julai lalu.

Dia pada masa sama turut mengingatkan penumpang lain agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan barangan berharga di ruang penyimpanan bagasi di atas tempat duduk dalam kapal terbang.

BACA LAGI: 19 petugas keselamatan lapangan terbang dipecat terlibat curi duit penumpang

BACA LAGI: [VIDEO] Jasad suami isteri membusuk ditemukan jiran Indonesia, anak langsung tak datang jenguk

Berkongsi tentang kejadian itu, individu tersebut berkata, seorang lelaki dilihat berkelakuan aneh dengan menurunkan sebuah beg dari tong sampah, sebelum meletakkannya semula selepas seketika.

"Tiga penumpang yang duduk di barisan hadapan pesawat tidak menyedari tindakan lelaki berkenaan berjalan ke hadapan pesawat (sebanyak) dua kali semasa penerbangan.

"Tidak lama kemudian barulah mereka sedar barang berharga mereka termasuk wang tunai dan kad kredit hilang," katanya menerusi rakaman video berkenaan.

Klip berdurasi 56 saat itu juga menunjukkan seorang pramugari mengeluarkan segumpal wang tunai daripada stoking.

Difahamkan, wang berkenaan disimpan di dalam stoking itu sebelum dicampakkan ke bahagian belakang ruang penyimpanan bagasi di atas tempat duduk.

Kakitangan syarikat pelancongan itu turut memberitahu, dia diarahkan untuk memberikan keterangan saksi sejurus mendarat di bandar Ho Chi Minh.

"Sebaik mendarat, kami menangkap lelaki tersebut sekali lagi cuba keluar dari pesawat secara curi-curi.

"Dia bagaimanapun berjaya dibawa ke bilik untuk disoal siasat," ujarnya.

Individu tersebut menambah, lelaki yang ditahan itu dipercayai menaiki pesawat bersama tiga lagi rakannya.

"Kumpulan tersebut didakwa sering membuat penerbangan transit sehari, dipercayai dengan tujuan untuk mencuri di dalam pesawat," katanya.

Bagaimanapun, status kewarganegaraan mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Sementara itu, memetik laporan SAYS, syarikat penerbangan terlibat mengesahkan kejadian tersebut berlaku dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar Ho Chi Minh dan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang Vietnam.

Menurutnya, kru kabin mereka telah dilatih untuk mengendalikan insiden keselamatan seperti itu dan sentiasa berwaspada dalam memantau tingkah laku penumpang.

"Kami juga menasihatkan penumpang supaya sentiasa menjaga barang berharga mereka dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada kru kabin dengan segera," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram