Sepuluh lokasi petak kosong ditawarkan MPKS tidak 'hidup', bisnes berisiko rugi — Penjaja Eco Grandeur


  • Bizz
  • Rabu, 17 Jul 2024

Penjaja bimbang tindakan berpindah ke lokasi baharu seperti yang disediakan MPKS berisiko menjejaskan pendapatan harian mereka. — Facebook/ Shaid Rosli

MAJLIS Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menegaskan bahawa tiada tapak penjaja yang akan diwujudkan di petak kosong Jalan Eco Grandeur Puncak Alam, Selangor.

MPKS menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, ini kerana tapak kosong itu tidak digazetkan sebagai tapak penjaja.

Yang Dipertua MPKS, Mohamad Hanafe Basri berkata, pihaknya bagaimanapun sudah menawarkan 10 lokasi petak kosong di tapak-tapak penjaja sekitar Puncak Alam.

BACA LAGI: 'Kami pun tidak mahu berniaga dalam ketakutan', penjaja di Puncak Alam luah isu permohonan jalankan bisnes

BACA LAGI: MPKS tak cadang wujud tapak penjaja di Eco Grandeur, ada 10 lagi petak kosong sekitar Puncak Alam

"Lokasi tapak penjaja yang mempunyai kekosongan termasuk di hadapan Pasar Raya Lotus's, Dataran Alam Suria dan Pusat Perniagaan Alam Jaya.

"Tapak penjaja lain ialah Astana Alam, Puncak Bestari, Lorong Cakera Purnama 12/28, di hadapan Apartment Residensi Warnasari 2, Naluri Sukma dan hadapan Alpina Abadi Puncak Alam," katanya.

1

Lokasi Eco Grandeur yang strategik menyebabkan ramai peniaga memilih untuk membuka tapak perniagaan di kawasan itu.

Beliau turut menjelaskan, hasil semakan lanjut MPKS mendapati terdapat 50 penjaja berniaga tanpa permit di atas tempat letak kereta sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, seorang peniaga yang enggan mendedahkan namanya berkata, berdasarkan perbincangan sesama penjaja di kawasan Eco Grandeur, rata-rata menyuarakan keengganan mereka untuk berpindah ke tapak tersebut.

Menurutnya, ia kerana tindakan itu berisiko menjejaskan pendapatan harian mereka.

"Ramai tahu tempat yang MPKS sediakan itu semua 'mati', susah nak dapat pelanggan berbanding Eco Grandeur. Kawasan Puncak Alam, yang hidup memang di sini saja.

"Kalau lokasi itu strategik, memang kita dah pindah sana. Untuk makluman juga, ramai peniaga di Eco Grandeur pun datang dari lokasi yang MPKS sebutkan itu.

"Namun disebabkan jualan di sana tidak memberangsangkan, jadi mereka ambil keputusan berpindah ke sini," katanya kepada Majoriti.

2

MPKS sudah menawarkan 10 lokasi petak kosong di tapak-tapak penjaja sekitar Puncak Alam.

Mengulas lanjut, peniaga itu tidak menafikan bahawa 10 lokasi yang ditawarkan MPKS itu kebanyakannya boleh diibaratkan sebagai hidup segan mati tak mahu.

Jelasnya, dia enggan merisikokan perniagaannya dengan berpindah ke kawasan lain yang diketahui kurang mendapat sambutan.

"Kawasan tersebut agak sendu, itu sebab ramai peniaga berpindah ke Eco Grandeur kerana kita tahu di sini ada crowd," ujarnya dengan nada kecewa.

Peniaga itu menambah, dia sebenarnya merancang untuk memindahkan tapak niaganya ke luar kawasan Puncak Alam jika sudah tiada jalan penyelesaian lain.

Adunya lagi, dia juga sudah penat beberapa kali diusir pihak berkuasa tempatan (PBT), namun terpaksa meneruskan juga bisnesnya bagi menyara kehidupan.

"Buat apa pindah tapak lain kalau penjual ramai tapi pembeli kurang? Ia hanya akan merugikan bisnes saya.

"Mungkin (akan cari tapak) di Setia Alam atau Shah Alam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram