[VIDEO] Jemu tengok MP buat 'political stunt', baik pembangkang dan kerajaan duduk betulkan tafsiran Perlembagaan


  • Politik
  • Selasa, 16 Jul 2024

Pembangkang seharusnya menjadi lebih konstruktif dalam membuat semak dan imbang terhadap setiap polisi yang digubal kerajaan.

SIDANG Dewan Rakyat pada 11 Julai lalu kecoh selepas insiden ahli Parlimen pembangkang keluar dewan beramai-ramai susulan tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Tidak cukup dengan itu, mereka pada Isnin sekali lagi mencuri perhatian dengan memasuki sidang Dewan Rakyat dengan memakai lilitan putih di lengan kiri masing-masing.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, tindakan itu merupakan amalan biasa yang dilakukan ahli Parlimen untuk menunjukkan tanda protes terhadap isu tertentu.

BACA LAGI: Syed Saddiq persoal 'peraturan baharu' dana Ahli Parlimen Pembangkang

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

Menurutnya, ia lazim dilakukan bertujuan menarik perhatian bukan sahaja sidang dewan, malah mahu mengajak rakyat turut sama membincangkan isu tersebut.

"Bagi saya isu-isu begini adalah lumrah dalam mana-mana persidangan," katanya kepada Majoriti.

1

Nurul Amin (kiri) dan Roslan Hashim memakai lilitan kain putih di lengan kiri masing-masing. Facebook/Nurul Amin Hamid

Mengulas lanjut mengenai tindakan protes berkenaan, beliau berpandangan, meskipun ia dilihat tidak mengganggu kelancaran perbahasan, ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya membuat political stunt seperti yang dilakukan sekarang.

Jelas Felo Penyelidik Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi, adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan ruang dalam Parlimen untuk berbincang dengan kerajaan bagi menyelesaikan perkara berbangkit, iaitu pentaksiran Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka perlu duduk dan memperbetul semua itulah, bukan dengan cara keluar dewan ataupun mengenakan lilitan putih di lengan untuk menunjukkan protes.

"Baik ambil peluang gunakan semangat Parlimen untuk sama-sama mencari penyelesaian, barulah nampak politik itu matang dan praktikal," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-07-15 at 18.51.21

Mujibu Abd Muis

Beliau berkata, isunya ketika ini adalah dakwaan wujudnya kelompangan dan kelemahan dalam Akta Lompat Parti yang telah diluluskan.

"Bagaimanapun pada ketika akta itu digubal dan diluluskan, pembangkang yang ada sekarang ini sebahagiannya (sebelum ini) duduk dalam kerajaan.

"Jadi bagaimana juga nak menyalahkan kerajaan sekarang dengan permasalahan yang ada?" soalnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, langkah yang diambil pihak pembangkang menunjukkan disifatkan sebagai langkah kurang bijak kerana ia tidak akan mengubah keputusan Speaker.

Menurut beliau, pembangkang seharusnya menjadi lebih konstruktif dan bijaksana dalam membuat semak dan imbang terhadap setiap polisi yang digubal kerajaan.

WhatsApp Image 2024-07-15 at 20.30.49

Rusdi Omar

"Jadi pembangkang yang ada visi dan misi untuk Malaysia bergerak ke depan dan bukan yang hanya fikir nak rebut kuasa semata-mata.

"Kerajaan juga kena berlapang dada dan cari solusi terbaik untuk bersama pembangkang dalam membangunkan negara.

"Mungkin memorandum persefahaman seperti kerajaan sebelum ini perlu dibuat supaya kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi boleh ditingkatkan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram