Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat


  • Politik
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Pada tahun ini, terdapat tiga insiden protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen pernah direkodkan melibatkan ahli Parlimen Pembangkang. — Parlimen Malaysia

TINDAKAN ahli Parlimen pembangkang melakukan protes dengan bertindak keluar daripada persidangan Dewan Rakyat disifatkan sebagai satu perbuatan yang tidak patut dibudayakan dalam politik negara.

Ketua Kluster Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (COLGIS-UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, perbuatan berkenaan dilihat tidak profesional.

"Bagi saya setiap orang memang patut diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan dalam Parlimen. Kalau tak puas hati mereka boleh menyuarakan pandangan, mencelah dalam mana-mana perbahasan atau pun keluarkan kenyataan.

"Jadi mereka sebenarnya masih mempunyai pelbagai hak dan cara untuk menyuarakan ketidakpuasan hati. Bukan dengan keluar daripada parlimen kerana tindakan itu adalah satu tindakan yang dilihat tidak profesional," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker

BACA LAGI: Kedudukan 6 MP bekas Ahli BERSATU, Speaker bertindak ikut Perlembagaan — PM Anwar

Pada Khamis, ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat petang tadi sebagai tanda membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Untuk rekod, itu bukan kali pertama ahli Parlimen Pembangkang berbuat demikian.

2795548

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pada tahun ini sahaja, terdapat dua lagi insiden serupa pernah direkodkan yang juga melibatkan ahli Parlimen Pembangkang berlaku ketika persidangan Dewan Rakyat.

Ahmad Martadha berkata, budaya protes dengan keluar daripada Dewan Rakyat itu berpotensi memberi gambaran buruk terhadap Parlimen di mata masyarakat awam termasuk pelajar sekolah dan pihak yang mengikuti perbahasan.

Ujarnya, ini kerana perbuatan itu seakan-akan memberikan gambaran bahawa seakan-akan ahli Parlimen tidak memiliki medium untuk melontarkan pandangan dan membawa suara rakyat di Parlimen.

Pada masa sama, beliau berkata, keputusan Speaker yang tidak menyebelahi mana-mana pihak juga tidak patut dijadikan sebagai alasan untuk melakukan perbuatan tersebut.

"Bila jadi isu macam itu, selain daripada keluar daripada Dewan, mereka ada sahaja pilihan lain yang boleh dilakukan. Kalau kita tengok Parlimen di England dan Eropah misalnya, banyak juga keputusan tidak memihak kepada sesuatu pihak.

"Tapi tidaklah mereka keluar daripada Dewan walaupun mereka tidak puas hati sampai tepuk meja dan sebagainya untuk menyuarakan bantahan. Bagi saya itu lebih profesional daripada boikot keluar Dewan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram