![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2024/07/15/2801673.jpg)
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan keperluan bagi mana-mana pihak pembangkang dalam memperolehi peruntukan, lapor FMT.
Beliau mendakwa, beberapa Ahli Parlimen pembangkang sudah berbuat demikian secara peribadi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak menetapkan syarat baharu mengatakan proses rundingan tidak boleh diadakan secara berasingan.
"Melihat kembali, saya teringat bagaimana enam Ahli Parlimen menerima peruntukan tanpa berbincang dengan Ketua Pembangkang.
"Ini menunjukkan terdapatnya perkara tidak konsisten. Saya berasa hairan tetapi saya kekal optimis. Saya mahu mengikut prosedur yang tepat," katanya.
BACA LAGI: Akui ada kesilapan catatan masa, Syed Saddiq terima keputusan 113 Triathlon Desaru jadi DNF
BACA LAGI: Tunggu saya berlari dulu — Fadillah
Anwar mengingatkan permohonan peruntukan perlu dibuat menerusi saluran yang tepat.
Tambahnya, dia yang merupakan satu-satunya wakil MUDA dalam Parlimen, namun diarahkan mengadakan rundingan dalam mendapatkan peruntukan menerusi Ketua Pembangkang.
Ketika ditanya mengenai keputusannya untuk tidak bersama dalam Kerajaan Persekutuan, Syed Saddiq berkata, dia kekal dengan pendekatan diambilnya.
"Dalam memastikan kestabilan kerajaan dan negara, saya tiada sebarang isu (dalam menyokong kepimpinan Anwar). Saya kekal dengan pendekatan sedemikian sejak awal lagi," katanya.
Minggu lalu, Anwar berkata, pembangkang perlu mengikut proses ditetapkan dalam memperolehi peruntukan daripada kerajaan.
"Sebelum ini, kita memiliki sebuah kumpulan mengandungi lima Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang," katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada Syed Saddiq yang mahu mendapatkan nasihat berhubung permohonan mendapatkan peruntukan selepas beberapa kali cuba memperolehinya menerusi perundingan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Syed Saddiq, dia sudah bertemu Fadillah sebanyak dua kali secara bersemuka selain mengirimkan surat sebanyak tiga kali, namun diingatkan bahawa permohonan peruntukan memerlukan persetujuan Kabinet dan Perdana Menteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram