[VIDEO] Tukang cuci maut motosikal terperosok bawah kereta di Johor Bahru


  • 112
  • Isnin, 15 Jul 2024

Mangsa warga Sri Lanka itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

SEORANG penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 11 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang maut dalam nahas kira-kira pukul 12.40 pagi itu merupakan warga Sri Lanka yang bekerja sebagai tukang cuci kereta.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah pusat bandar di lorong tengah melanggar sebuah motosikal lain yang berada di hadapannya.

BACA LAGI: 'Ukur baju di badan rakyat', kerajaan, pemaju diminta bina rumah ikut kemampuan semasa

BACA LAGI: Ayat stereotaip permulaan curang, peguam syarie dedah skandal bermula di pejabat buat ramai suami tersakiti

WhatsApp Image 2024-07-15 at 23.21.20

Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan.

"Akibatnya mangsa jatuh ke lorong kanan. Pada masa sama, datang sebuah kereta melanggar mangsa dan kereta tersebut turut dilanggar sebuah kereta lain di belakangnya.

"Mangsa yang berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal mengalami luka di tangan. Dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raub memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-8068350," katanya.

Video kemalangan tersebut turut dikongsikan menerusi laman Facebook pada Isnin, sebelum ia menjadi tular. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram