ISU lambakan binaan rumah di negara ini masih belum dapat ditangani sepenuhnya apabila sebanyak 25,311 hartanah baharu bernilai RM17.4 bilion dilaporkan tidak terjual setakat suku ketiga pada 2023.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (JPPH) menunjukkan angka itu terdiri daripada 19.4 peratus daripada 130,753 unit yang baru dilancarkan di seluruh negara.
KPKT juga tidak menafikan isu tersebut melibatkan ketidakpadanan dalam pasaran perumahan disebabkan jurang besar antara permintaan dan penawaran rumah.
Lebih banyak rumah dibina daripada yang dijual. — Gambar hiasan
Situasi itu sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada rakyat kerana terdapat pemaju perumahan yang tetap membina kediaman sedangkan masih banyak bilangan unit rumah yang belum terjual.
Ia juga menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warga maya di Facebook serta ada yang berpendapat bahawa kerajaan dan pihak pemaju perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
"Ukur baju di badan rakyat, makan pun tak cukup, tiap-tiap hari dapat berita cakap peningkatan ni. Ada lagi rumah yang dibina begitu banyak," respons Anna Teh.
Pada masa sama, pengguna akaun Adrian Coda mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga siling sewaan serta mengehadkan pemilikan harta kediaman secara maksimum.
"Kerajaan harus mengenakan siling sewa dan mengehadkan pemilikan harta kediaman kepada maksimum dua unit bagi setiap orang atau syarikat," cadangnya.
Ada juga yang memberi pandangan bahawa kedua-dua pihak bertanggungjawab itu perlu melaksanakan pembinaan rumah mengikut keadaan rakyat dan ekonomi sekarang.
"Ramai pemaju ingin membina pembangunan mewah tanpa melihat pasaran. Berapa ramai yang mampu membeli rumah melebihi RM1 juta.
"Walaupun untuk rumah RM300,000, mereka perlu sekurang-kurangnya RM3,000 gaji minimum," komen Hayati Ismail.
"Dengan inflasi yang semakin meningkat sekarang, saya tertanya-tanya adakah pendapatan semasa kita mampu menampung keperluan asas kita, membeli hartanah sekarang adalah impian. 10 peratus untuk rumah sekarang lebih baik diketepikan untuk kecemasan," balas Wong Tien. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram