Malaysia kutuk serangan udara rejim Israel di Kem Al-Mawasi


  • Primer
  • Ahad, 14 Jul 2024

Serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di zon selamat yang ditetapkan sendiri oleh Israel untuk rakyat Palestin. — Agensi

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan rejim Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Al-Mawasi pada Sabtu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di zon selamat yang ditetapkan sendiri oleh Israel untuk rakyat Palestin.

Menurutnya, serangan tersebut jelas merupakan satu pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.

BACA LAGI: Penyertaan BRICS: Pembangkang minta kerajaan waspada matlamat politik blok perjanjian ekonomi baharu

BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri

Wisma Putra mengutuk serangan berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Ia juga bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan serta kekejaman berterusan yang dilakukan tentera rejim Zionis.

“Keganasan berterusan ini secara jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024), yang menyeru untuk menghentikan segera peperangan, melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza,” katanya.

Kementerian Luar dalam pada itu turut meminta masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi mengakhiri keganasan tersebut.

Selain itu, pihaknya menuntut pemimpin Israel untuk bertanggungjawab ke atas jenayah yang tidak berperikemanusiaan itu.

Terdahulu, serangan udara Israel di zon kemanusiaan Al-Mawasi pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Israel pula mendakwa, serangan itu dibuat bagi menyasarkan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif.

Al-Mawasi ialah kawasan perlindungan yang ditetapkan yang tentera Israel, namun mereka beberapa kali mengeluarkan arahan memaksa penduduk Palestin berpindah ke kawasan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram