[VIDEO] Menantu dedah pemandu Merc langgar lari di Batu Pahat sudah serah diri


  • Tular
  • Ahad, 14 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan kejadian semasa pemandu melanggar penunggang motosikal berkenaan.

PEMANDU kenderaan mewah jenis Mercedes yang dipercayai melanggar lari seorang penunggang motosikal di Batu Pahat, Johor pada Sabtu sudah menyerah diri di balai polis berhampiran.

Perkara tersebut dikongsikan menantu mangsa menerusi satu hantaran Facebook pada hari yang sama.

Berdasarkan perkongsian pengguna akaun dengan nama Nurul Zarifah Aisar, dia memberitahu bahawa suspek sendiri menyerahkan diri di Balai Polis Cawangan Trafik Batu Pahat pada pukul 8 malam, Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki disyaki serang Trump ketika berkempen maut ditembak ejen Secret Service AS

BACA LAGI: Budaya sebar kod QR tagih duit raya ibarat hina diri sendiri

"Terima kasih yang berkongsi di group menjadikan kejadian ini tular, juga banyak membantu sampaikan si pelaku menyerah diri, pihak polis pun banyak membantu dalam siasatan .

"(Suspek) yang bertanggungjawab pun sudah telefon kami, esok siasatan lanjut akan berjalan," katanya.

Nurul Zarifah dalam pada itu turut memaklumkan, bapa mertuanya ketika ini sudah berada di rumah selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Ujarnya, mangsa mengalami kecederaan di muka dan beberapa anggota badan yang lain.

"Alhamdulillah dia (bapa mertua) sekarang berada di rumah kami, hasil pemeriksaan CT scan (Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer) dan x-ray (mendapati) tiada kecederaan dalaman setakat ini.

"Berjahit di kepala luka di muka, tangan dan kaki, pedihnya ALLAH SWT sahaja yang tahu," katanya.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan sebuah Mercedes dipercayai melanggar seorang warga emas yang menunggang motosikal di kawasan Simpang Lima yang terletak dalam daerah Batu Pahat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kenderaan tersebut dilihat perlahan-lahan digerakkan ke arah kiri jalan sebelum melanggar mangsa.

Pemandu terbabit tidak memberhentikan kenderaannya, malah terus memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, kemalangan itu sempat disaksikan pengguna jalan raya yang lain yang kemudian bertindak mengejarnya bagi mendapatkan rakaman nombor plat Mercedes tersebut.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram