Rizal Ghazali 'pecah telur' pastikan Sang Kenari tak patah sayap jumpa KDN FC


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Aksi perlawanan Kedah FC menentang KDN FC pada Jumaat dalam aksi kelima Liga Super 2024/25. — Facebook/KDA FC

SANG Kenari memulakan langkah kanan dengan meraih gol pembukaan pada awal perlawanan dalam aksi kelima Liga Super 2024/25 menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada Jumaat.

Percaturan meletakkan Rizal Ghazali dalam skuad utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merupakan satu langkah bijak yang dibuat Nafuzi Zain.

Rembatan padu anak jati Alor Setar berusia 32 tahun itu berjaya merobek gawang pasukan pelawat di Stadium Darul Aman, Kedah pada minit ke-10.

BACA LAGI: Hanya 300 tiket terjual lawan Kelantan, fans Kedah niat simpan duit untuk JDT

BACA LAGI: 'Tak bayar gaji sejak awal liga', kelab Sang Utara turut alami masalah gaji?

Jaringan tersebut merupakan gol sulung Rizal yang juga bekas pemain Sabah FC pada musim ini.

Bagaimanapun selepas itu tiada percubaan bahaya daripada pasukan Kedah menambah gol untuk meletakkan pasukan di kedudukan lebih selesa.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan masih gagal membolosi benteng pertahanan pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu meskipun selepas beberapa asakan dibuat.

Keputusan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat separuh masa pertama.

WhatsApp Image 2024-07-12 at 23.11.10

Kedah mempamerkan aksi dengan baik walaupun hanya bermain di hadapan lebih 2,500 penyokong. — Facebook/KDA FC

Memasuki babak kedua, Kedah mengukuhkan kedudukan melalui jaringan Syafiq Ahmad pada minit ke-48.

Sony Norde kemudian memastikan kedudukan Kedah lebih selesa apabila meledak gol ketiga hantaran daripada Milos Gordic pada minit ke-74.

Meskipun pemain pelawat cuba memberikan tekanan yang agak tinggi buat Sang Kenari, namun tiada perubahan drastik yang diberikan Kelantan untuk mengubah kedudukan.

Menjengah ke ruangan komen di laman Facebook, ada peminat yang menyifatkan Kedah mempamerkan aksi dengan baik walaupun hanya bermain di hadapan lebih 2,500 penyokong.

"Walaupun ramai tidak hadir tapi Kedah boleh teruskan permainan, permainan bagus dari sebelum ini. Semoga Piala FA menentang JDT (Johor Darul Ta'zim) kita boleh menang insya-ALLAH," tulis Zafran19.

Sementara itu, Abu Luqman berpendapat, meskipun dilanda pelbagai isu termasuk masalah gaji, pemain Sang Kenari masih berupaya menonjolkan kemahiran permainan yang padu di atas padang.

"Alhamdulillah syukur dan tahniah kepada para pemain. Semangat tetap padu walaupun macam-macam isu melanda. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan kalian semua, salute dan respect," katanya.

Untuk rekod, Kedah ketika ini berada di tempat kelima Liga Super, manakala Kelantan di kedudukan ke-12 carta liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram