PADA 18 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia berhasrat untuk menyertai blok perjanjian ekonomi baharu iaitu BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).
Menerusi satu temu bual bersama media asing, Anwar berkata, Malaysia sudah pun memulakan prosedur rasmi untuk menyertai kesatuan ekonomi berkenaan.
Terbaharu, Anwar dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, kerajaan sudah mengkaji semua implikasi dan kemungkinan dalam langkah penyertaannya itu.
BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri
Beliau turut mengakui bahawa Malaysia mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan meniliti segala kemungkinan dan implikasi susulan daripada langkah berkenaan.
“Kami mendapati negara-negara dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) turut berada dalam BRICS, manakala negara dalam Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) juga berada dalam BRICS.
"Jadi, tidak ada sebab untuk Malaysia dikecualikan daripada pertimbangan sedemikian," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pembangkang secara umumnya bersetuju terhadap langkah berkenaan.
"Dalam hal ini, kita boleh bersetuju dengan kerajaan. Jika ada mana-mana hubungan dalam satu blok ekonomi yang boleh memberi keuntungan dan manfaat kepada negara, kita perlu mempertimbangkan untuk menyertainya.
"BRICS sebagai salah satu blok ekonomi yang baru dan berpotensi besar wajarlah Malaysia dipertimbangkan untuk menjadi anggotanya," ujarnya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, meskipun tumpuan utama penyertaan tersebut adalah untuk kepentingan ekonomi, kerajaan harus sensitif dan berwaspada terhadap falsafah sebenar cuba dibawa oleh blok ekonomi tersebut.
Ini kerana menurutnya selain menjadi perhimpunan ekonomi dan perdagangan, BRICS dilihat merupakan usaha bagi membentuk satu blok geopolitik baharu yang mampu menawarkan alternatif terhadap tadbir urus di peringkat dunia dan juga rantau.
"Ia dilihat sebagai alternatif bagi mengisi kelemahan yang ada dalam contohnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kaya, G7.
"Jadi, BRICS ni adalah satu konfigurasi baru politik dunia yang mencerminkan kebangkitan kuasa bukan barat. Jadi, kalau Malaysia ada aspirasi yang sama, bagus. Kerana ianya menunjukkan kita berada dalam kumpulan yang tepat.
"Tapi, kita perlu kekalkan dasar berkecuali kita. Maksudnya, kita tak boleh memegang kepada mana-mana kutub kerana semua keputusan kita, sama ada masuk BRICS atau tidak adalah kerana kepentingan nasional," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. — Parlimen Malaysia
Untuk rekod, BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Gabungan di bawah blok tersebut dianggarkan mempunyai jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$26.6 trilion, iaitu 26.2 peratus daripada nilai KDNK dunia.
Ditanya sama ada penyertaan ke dalam BRICS ini bakal turut menimbulkan kontroversi seperti ketika negara mahu menerima Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Wan Ahmad berkata, isu berkenaan tidak berbangkit setakat ini.
Ujarnya, berbeza dengan CPTPP, BRICS tidak menawarkan sebarang perdagangan bersifat multilateral sebaliknya hanya member tumpuan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala antara negara anggota.
"Setakat ni, tidak ada lagi perjanjian perdagangan bebas yang bersifat multilateral. Tapi, saya fikir mungkin akan berlaku. Tapi, belum lagi lah, kita hanya boleh buat andaian sahaja. Jadi tidak timbul kebimbangan yang patut kita risau dari segi itu," ujarnya.
Terdahulu, keputusan Malaysia untuk ikut serta dalam CPTTPP mencetuskan kontroversi kerana ia didakwa berpotensi untuk menjejaskan kedaulatan negara menerusi mekanisme perjanjian pelaburan ditetapkan di samping turut berisiko meningkatkan kos perubatan.
Kerajaan pada 5 Oktober 2022 dilaporkan sudah bersetuju untuk meratifikasi perjanjian tersebut dengan pelaksanaannya berkuatkuasa 29 November pada tahun tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram