Pembangkang tidak perlu jadi 'hero', pemecatan 6 MP BERSATU tak ditakrif sebagai lompat parti — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Bersatu kini sedang dipimpin oleh Muhyiddin yang memegang jawatan selaku Presiden parti.

PEMECATAN enam bekas ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak ditakrifkan sebagai lompat parti sehingga memerlukan mereka mengosongkan kerusi masing-masing, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau merujuk kepada tindakan enam bekas ahli BERSATU yang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, semua pihak sedia maklum bahawa Perkara 49A (2) jelas menyatakan bahawa pemecatan tidak bererti kekosongan kerusi atau lompat parti.

BACA LAGI: Kedudukan 6 MP bekas Ahli BERSATU, Speaker bertindak ikut Perlembagaan — PM Anwar

BACA LAGI: Pindaan Perlembagaan BERSATU bercanggah Perlembagaan Persekutuan — Speaker

Fahmi menyifatkan isu melibatkan enam bekas ahli Parlimen BERSATU tersebut sebagai pemecatan terancang.

"Jadi jika kita teliti apa yang berlaku, ia ditafsirkan sebagai pemecatan terancang," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Enam Ahli Parlimen yang terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Mengulas lanjut mengenai keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang memutuskan enam Ahli Parlimen berkenaan kekal sebagai wakil rakyat, Fahmi berkata, keputusan itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan tafsiran undang-undang.

"Ini mematuhi peraturan asas prosiding parlimen (Perintah Tetap Dewan Rakyat)," jelasnya sambil menambah bahawa sebarang kritikan terhadap keputusan Johari adalah tidak berasas.

Enam Ahli Parlimen Bebas, dari kiri: Syed Abu Hussin, Zahari, Iskandar Dzulkarnain, Suhaili, Zulkafperi dan Mohd Azizi.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan pembangkang agar tidak menjadi 'hero' dalam isu tersebut kerana sebelum ini BERSATU membantah pindaan Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti 2022 apabila dicadang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Dalam banyak-banyak parti, BERSATU paling tidak mahu menyaksikan sejumlah pindaan yang dicadangkan Menteri Undang-Undang waktu itu.

"Kalau nak salahkan seseorang, salahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Merekalah antara yang paling tidak bersetuju dengan pindaan, yang sekiranya dilakukan akan menghalang daripada kejadian yang kita saksikan sekarang. Sekarang terpekik terlolong dalam Dewan Rakyat, merekalah yang tidak bersetuju. (Kini) Senjata makan tuan," tambahnya.

speaker

Kritikan terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat dianggap tidak berasas.

BERSATU pada Rabu mengesahkan menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian dalam parti berkenaan.

Muhyiddin berkata, tindakan itu amat mengecewakan kerana ia jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu juga, beliau memaklumkan bahawa partinya akan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram