Wanita Miri hilang masih tiada khabar berita, rakan dedah ibu belum bercadang ke Semenanjung


  • Massa
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada pada Rabu. — Facebook

SELEPAS tiga hari hilang, rakan kepada wanita yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu buntu apabila masih tiada khabar berita berkenaan kehilangan mangsa.

Rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Amira berkata, pihak polis masih giat menjalankan operasi mencari wanita bernama Nur Farah Kartini Abdullah, 25, berasal dari Miri, Sarawak itu.

"Setakat ini tiada lagi (perkembangan). Saya ada berhubung dengan ibunya, tapi buat masa kini dia belum bercadang untuk ke Semenanjung. Mereka hanya dapatkan perkembangan terkini dari sana (Miri), " katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Wanita Miri hilang lepas hantar kereta sewa di Tanjung Malim

BACA LAGI: Mesin vape layan diri tingkat jumlah golongan mahu cuba-cuba, elok lagi jual barang sekolah — Pakar

2795035 (1)

Amira yang menguar-uarkan tentang kehilangan Nur Farah Kartini di media sosial.

Menurut Amira, mangsa bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.

Wanita tersebut juga dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.

Amira pada awalnya turut berkongsi gambar dan maklumat mengenai kehilangan mangsa di media sosial, bagaimanapun atas nasihat orang ramai, dia kemudian membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Ulu Bernam.

Bagaimanapun jelasnya, pihak polis masih belum mempunyai maklumat terkini tentang keberadaan mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita yang bernama Nur Farah pada pukul 1.56 pagi Khamis lalu.

Beliau berkata, Nur Farah berketinggian kira-kira 163 sentimeter (cm), berat badan 58 kilogram (kg), berbadan sederhana dan mempunyai tahi lalat di bawah mata kiri.

Beliau juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nur Farah dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-4596122 untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram