PRU16: Umno belum ada keputusan gabung dengan parti lain — Tok Mat


  • Politik
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Muhamad Hasan menegaskan Umno tidak terikat dengan sebarang parti untuk pilihan raya umum akan datang.

TIADA jaminan Umno akan bersama dengan mana-mana gabungan politik untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, setakat ini Umno tidak terikat dengan sebarang parti lain untuk bergabung pada PRU16.

"Kita hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bagi menguruskan negara sebab kita perlukan kerajaan yang kuat dan mantap," katanya.

BACA LAGI: PLKN 3.0 tidak libat pelajar duduki SPM — Tok Mat

BACA LAGI: Nama Tok Mat sudah diduga, 2 lagi calon disebut layak galas tugas TPM

1097559

Umno bergabung dengan PH bagi penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Mohamad Hasan berkata demikian ketika berucap untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, FELDA Sungai Sayong, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, perkara itu boleh diputuskan ketika PRU16 nanti berdasarkan kekuatan dan jumlah kerusi dimenangi Umno.

"(Ada) yang kata kita akan gabung dengan Pakatan Harapan(PH), kita tengok PRU16, kalau (Parlimen) Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara boleh bagi (menang di kerusi itu), kita langgar saja...apa ada hal," katanya.

Sementara itu, dia yang juga Menteri Luar berkata, Umno perlu lebih memahami kehendak orang muda yang kini menjadi pengundi baharu dan banyak menentukan keputusan PRU.

"Pengundi 18 tahun jadikan (keputusan pilihan raya) tak tentu arah, takkan nak bantah undi 18, itu mengundur ke belakang namanya. Kebanyakan kawasan mempunyai 50 hingga 60 peratus pengundi berusia 40 tahun ke bawah.

"Jadi Umno perlu memahami pemikiran dan berdamping dengan anak muda menerusi program yang mereka suka serta dapat menerimanya," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram