PLKN 3.0 tidak libat pelajar duduki SPM — Tok Mat


  • Primer
  • Selasa, 31 Okt 2023

Di bawah pelan cadangan PLKN yang bakal dihidupkan semula itu, beliau berkata, peserta Fasa 2 akan menjalani latihan selama 45 hari. — Gambar hiasan

PEMILIHAN dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal dilaksanakan semula hanya akan melibatkan belia sudah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun program itu disasarkan kepada golongan belia antara 16 hingga 35 tahun, beliau memberi jaminan ia tidak menganggu pelajar yang menghadapi peperiksaan tersebut.

"Fasa 1 akan melibatkan penyertaan di peringkat sekolah, manakala Fasa 2 selepas fasa persekolahan iaitu selepas peperiksaan SPM," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mohamad berkata, Fasa 1 bakal melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan menjurus kepada aktiviti kokurikulum beruniform seperti polis, bomba dan pengakap.

“Oleh itu, pelaksanaannya tidak akan melibatkan pelajar Tingkatan Lima bagi membolehkan mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM,” jelas beliau yang juga dikenali dengan panggilan Tok Mat.

Di bawah pelan cadangan PLKN yang bakal dihidupkan semula itu, beliau berkata, peserta Fasa 2 akan menjalani latihan selama 45 hari.

Ujarnya, 90 peratus daripada aktiviti dijalani melibatkan latihan asas ketenteraan manakala selebihnya adalah berkaitan pembinaan negara.

KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Ahli Parlimen Rembau ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan. — Bernama

Mohamad berkata, 13 kem Askar Wataniah di seluruh negara termasuk Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur akan digunakan bagi latihan PLKN Fasa 2.

Katanya, PLKN 3.0 yang dihidupkan semula akan menelan belanja RM100 juta setahun berbanding RM500 juta yang diperuntukan bagi program tersebut sebelum ini.

Program Khidmat Negara diperkenalkan pada 2004 melibatkan pemilihan rawak terhadap belia berumur 18 tahun bagi menjalani latihan wajib selama tiga bulan.

Ia dihentikan pada 2015 dan diperkenalkan semula pada tahun berikutnya dengan peserta diberikan pilihan untuk menyertainya menjelang 2019.

Bagaimanapun, ia dibatalkan pada Ogos 2018.

Pada 2021, kerajaan sebelum ini bersetuju supaya Kementerian Pertahanan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji kemungkinan menghidupkan semula program itu dengan kaedah baharu.

Setakat ini, tiada tempoh masa khusus ditetapkan untuk proses memperkenalkan semula program berkenaan.

Pada 9 Oktober lepas, Mohamad menyatakan persetujuan terhadap cadangan daripada ahli Parlimen agar perkara itu diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mendapatkan input lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram