PM Anwar perlu PAS untuk dapat sokongan Melayu — Penganalisis


  • Politik
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Anwar (kanan) bersama Ahmad Samsuri ketika lawatannya ke Terengganu pada Rabu.

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) yang berlangsung pada 2022, PAS dilihat merupakan parti yang semakin mendapat perhatian dalam politik negara khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Peningkatan pengaruh parti itu yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) terbukti apabila parti Islam itu menjadi parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat iaitu 43 kerusi.

Dalam pada itu, prestasi PAS dalam beberapa siri pilihan raya seterusnya termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023 dan beberapa pilihan raya kecil (PRK) juga memberikan gambaran serupa.

BACA LAGI: Penyertaan BRICS: Pembangkang minta kerajaan waspada matlamat politik blok perjanjian ekonomi baharu

BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri

Dalam PRN yang berlangsung di enam negeri pada tahun lalu, PAS berjaya mengekalkan tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Pada masa sama, parti berkenaan juga berjaya menembusi beberapa negeri yang sekian lama menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) antaranya Selangor dan Pulau Pinang.

Gambaran mengenai pengaruh PAS ke atas pengundi Melayu juga menyaksikan parti tersebut kini mula menjadi pilihan utama termasuk dalam kalangan pengundi Umno yang secara perlahan mengalihkan sokongan mereka.

Trend berkenaan sudah mula dapat dilihat sejak PRU15 lalu dan ia berlanjutan sehingga kini.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, buat masa ini, PAS merupakan parti terkuat yang berupaya memobilisasi pemikiran dan kepercayaan politik orang Melayu.

Disebabkan itu, beliau berpandangan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini memerlukan bantuan daripada parti terbabit untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

"Anwar tidak boleh melangkah lebih jauh untuk membawa Malaysia ke puncak jaya selagi tidak mendapat dokongan tuntas daripada majoriti orang Melayu.

"Selagi isu terkait sentimen Melayu-Islam dimomok dan dimanipulasi secara berterusan, bebanan ini akan terus merantai dan membelenggu langkah beliau, menghalang untuk bergerak lebih lancar dan pantas.

"Dengan kata lain, untuk melaksanakan agenda pembaharuan secara menyeluruh terhadap Malaysia, beliau wajib mendapat dokongan majoriti orang Melayu, selain turut disokong oleh etnik lain sama ada Cina, India serta Bumiputera Sabah dan Sarawak," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohd Yusri berkata demikian ketika mengulas mengenai lawatan Anwar dan ke Terengganu pada Khamis yang turut diiringi oleh Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu pada Rabu.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu berkata, pada ketika ini parti komponen yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan diharap menarik sokongan pengundi Melayu masih gagal menjalankan tugasan berkenaan termasuk Umno yang dilihat mengalami isu defisit kepercayaan.

Situasi itu jelas beliau menyebabkan majoriti orang Melayu memilih PAS sebagai payung besar untuk mereka berteduh dan dijadikan sebagai tempat lindungan, pengharapan dan kepercayaan.

"Sebahagiannya kerana yakin dan percaya sungguh-sungguh terhadap aspirasi politik dan dakwah PAS, sebahagian lagi kerana meyakini PAS adalah alternatif terbaik kepada orang Melayu ketika ini," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-07-12 at 10.32.06

PAS kini dilihat menjadi pilihan utama pengundi Melayu. — Gambar hiasan

Dengan mengambil kira perkembangan tersebut, Mohd Yusri berkata, Anwar mempunyai pilihan segera untuk mendapatkan dokongan orang Melayu melalui PAS selain mengharap daripada parti komponen PH dan rakan kongsinya, Umno.

"Anwar memerlukan PAS untuk mendapat sokongan Melayu, PAS yang mentadbir empat negeri Melayu pula sudah tentu memerlukan kerjasama erat daripada Anwar untuk terus membangun Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

"Masing-masing saling memerlukan, masing-masing boleh berkongsi kekuatan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat yang dipimpin," ujarnya.

Mohd Yusri menambah, perdamaian tersebut tidak semestinya memerlukan PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana jelasnya, terdapat banyak kerangka perdamaian lain yang dilihat boleh dirintis oleh kedua-dua pihak.

"Contohnya melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan PAS. Namun jika kerjasama itu boleh mencapai sehingga PAS menyertai Kerajaan Perpaduan, kenapa tidak?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram