UMNO tidak perlu bekerjasama dengan PAS selagi ia berada di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Datuk Dr Puad Zarkashi.
Menurut laporan NST, Puad berkata sedemikian bagi menyokong pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan mengatakan PAS dan presidennya itu tidak mempunyai pendirian kukuh.
Kenyataan itu dibuat berdasarkan keputusan untuk membubarkan pakatan antara Umno dan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.
BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh Langkah Dubai, Puad Zarkashi cadang J-KOM dirombak sepenuhnya
BACA LAGI: 'Anak bulan di Putrajaya', Puad Zarkashi beri bayangan Parlimen bubar
Umno dan PAS pernah bekerjasama dalam Muafakat Nasional selepas PRU-14.
"Pada awalnya, PAS sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno dalam PRU-15. Tetapi, Hadi sudah mempengaruhi beberapa pemimpin PAS dan mereka mengubah pendirian," kata Puad.
Menurutnya, Umno bukan satu-satunya parti yang pernah terkesan dengan kepimpinan lemah Hadi Awang kerana pergolakan dalam parti berkenaan turut menyaksikan penubuhan AMANAH.
"Ini termasuk individu ternama seperti Datuk Seri Mohammad Sabu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Dr Hatta Ramli dan Datuk Mahfuz Omar," katanya.
Puad turut percaya parti komponen Perikatan Nasional, BERSATU akan menjadi 'mangsa' seterusnya kepada kepimpinan lemah PAS dan Hadi Awang.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama antara parti berkenaan dan Umno akan membuahkan hasil.
Zahid menjelaskan pendirian Umno mengenai peluang bekerjasama dengan PAS.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan ditepis Ahmad Zahid yang tidak mahu menubuhkan sebarang persefahaman selagi Hadi kekal menjadi presiden parti.
Timbalan Perdana Menteri itu turut melabel PAS sebagai 'penipu' kerana sudah beberapa kali mengkhianti Umno dalam bidang politik.
Sebagai respons, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti berkenaan juga tidak akan berbuat demikian selagi Ahmad Zahid kekal sebagai pemimpin teratas Umno.
Dalam pada itu, Puad berkata, Umno tidak memerlukan PAS untuk mendapatkan semula cengkaman dalam kerajaan dan sebaliknya menubuhkan kerjasama dengan seteru yang dipercayai.
"Umno membuktikan mereka boleh bergerak tanpa PAS kerana kami berjaya mengekalkan kuasa di Melaka, Johor dan Pahang secara bersendirian sebelum PRU-14," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram