KEJADIAN buli melibatkan pelajar bukanlah perkara baharu di negara kita. Fenomena ini telah wujud sejak sekian lama dan terus menjadi cabaran besar kepada pihak sekolah, ibu bapa, serta masyarakat amnya.
Walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk menanganinya, kes-kes buli masih dilaporkan hampir setiap hari.
Terbaharu, seorang ibu meluahkan rasa gusar selepas anak lelakinya yang berusia 13 tahun mengadu sering menjadi mangsa buli rakan-rakan senior di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
BACA LAGI: [VIDEO] Majlis sambut besan Indonesia bertukar tragedi berdarah, YB tertembak tetamu hingga maut
Apatah lagi kejadian buli dalam asrama itu berlaku hampir setiap malam melibatkan pelajar yang lebih tua daripada anaknya.
Menerusi perkongsian seorang warga maya, iqa.schamemey di laman Threads pada Rabu, dia mendakwa anak lelakinya itu telah dipaksa oleh seorang pelajar senior untuk memasak mi segera terkenal dari Korea.
Lebih mengejutkan lagi, mangsa dipaksa membeli mi segera tersebut menggunakan duitnya sendiri sehingga menelan belanja yang tinggi.
Keluh wanita itu lagi, ekoran daripada kejadian buli itu menyebabkan mental anaknya terganggu dan tidak mahu meneruskan pelajaran di MRSM yang tidak didedahkan lokasinya itu.
Datuk Asyraf Wajdi Dasuki
Luahan wanita itu turut menarik perhatian Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki setelah ia tular di laman media sosial pada hari yang sama.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kejadian buli tersebut.
"Saya tidak boleh berkompromi dengan apa jua bentuk buli, lebih-lebih lagi jika melibatkan fizikal.
"Pengurusan MARA amat mengetahui saya berpegang pada perinsip 'You touch you go' (Kau pegang, kau pergi).
"Tidak layak duduk dalam MRSM jika tidak boleh belajar hidup bermasyarakat dan berakhlak," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang warga maya, Nor Ashikin Nasrudin tampil mendakwa anaknya turut menjadi mangsa buli.
"Saya pun terpaksa keluarkan anak saya dari MRSM tahun lalu, selalu menangis sebab dibuli secara mental.
"Mentang-mentang anak saya bukan jenis yang melawan, makin teruk dibuli. Sekarang belajar di sekolah harian biasa dan alhamdulillah, cemerlang juga keputusan pelajarannya.
"Saya rasa perlu ada pelarasan semua tentang syarat kemasukan atau pemilihan ke MRSM. Perlu betul-betul ambil murid yang berkualiti dan ada adab," tulisnya.
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mendakwa sering menjadi mangsa buli rakan-rakan senior di berasrama penuh sehingga menyebabkan dia mengalami gangguan mental. — Gambar hiasan
Seorang lagi warga maya, Norsharida Noordin turut mendakwa mengalami masalah yang sama.
"Saya pun sudah 'keluarkan' anak saya dari MRSM. Masa anak saya menangis saya hubungi pihak warden sekolah.
"Kecewa dengan jawapan yang diberikan apabila warden memberikan jawapan sinis menjaga 600 lebih pelajar untuk dijaga.
"Sekurang-kurangnya siasat kejadian itu dan buat tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Ibnu Ahmad berpendapat kejadian buli semakin menjadi di MRSM tersebut ekoran daripada syarat pengambilan pelajar yang telah dilonggarkan tidak seperti dahulu.
Haizatul Akma Shahdan turut bersetuju dengan pendapat Ibnu Ahmad.
"Lebih suka dengan pemilihan pengambilan pelajar MRSM yang dahulu, semuanya berdasarkan kecemerlangan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tanpa memilih mengikut kategori B40, M40 dan T20," tulisnya.
Untuk makluman, MARA menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah dalam kalangan B40, manakala selebihnya mereka yang layak iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) daripada kalangan M40 dan T20.
Pengambilan syarat baharu itu dibuat selepas ujian UPSR dan (PT3) dimansuhkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram