Rakyat muak drama politik, BERSATU elok heret ke mahkamah


  • Politik
  • Khamis, 11 Jul 2024

Perkara itu perlu dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan pentaksiran perlembagaan dan undang-undang yang lebih jelas berhubung Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

ISU melibatkan enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri disarankan untuk dibawa ke peringkat mahkamah.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan BERSATU agar mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen terlibat mencetuskan persoalan dalam kalangan banyak pihak.

Menurutnya, ia juga perlu dibawa ke muka pengadilan bagi mendapatkan pentaksiran perlembagaan dan undang-undang yang lebih jelas berhubung Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan.

BACA LAGI: Kedudukan 6 MP bekas Ahli BERSATU, Speaker bertindak ikut Perlembagaan — PM Anwar

BACA LAGI: Pindaan Perlembagaan BERSATU bercanggah Perlembagaan Persekutuan — Speaker

"Saya berpendapat ia memang perlu dibawa ke mahkamah kerana Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat ketetapan berkaitan tafsiran sebenar peruntukan perlembagaan.

"Ia juga supaya tidak timbul perbezaan tafsiran dan kita mengharapkan selepas ini hanya satu tafsiran sahaja diguna pakai untuk mengelakkan kekeliruan," katanya kepada Majoriti.

1

Keputusan Speaker Dewan Rakyat dianggap berbeza dengan tujuan sebenar Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan.

Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan kerusi yang dipegang enam bekas ahli Parlimen Bersatu mendapat reaksi pelbagai.

Antaranya veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad yang menyifatkan tindakan tersebut berisiko memberi implikasi buruk terhadap kestabilan dalam kerajaan.

Shahrir menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Rabu turut mengkritik ketetapan Johari yang dianggap sebagai satu keputusan dibuat atas 'kepentingan sendiri', bukannya berasaskan prinsip.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Muhammad Fathi mengakui bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Shahrir.

Beliau menjelaskan, keputusan Johari sebenarnya agak berbeza dengan tujuan sebenar Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan.

"Sebenarnya kalau kita lihat tujuan sebenar Akta Anti Lompat Parti [Akta A1663] adalah untuk memastikan ahli Parlimen setia dengan parti masing-masing dan kekal dengan sokongan yang diberikan sewaktu bertanding dalam pilihan raya.

"Kesetiaan itu berupaya menjamin kestabilan politik, dengan mengelak daripada berlakunya pertukaran sokongan hingga menjejaskan keutuhan kerajaan sebagaimana yang dialami beberapa tahun lalu.

"Jadi keputusan (Johari) tersebut tidak menepati hasrat pindaan perlembagaan dan menimbulkan banyak persoalan terutamanya jika dirujuk kembali Perkara 49A itu, terdapat situasi seseorang ahli Parlimen hilang kelayakan atau hilang kerusi apabila beliau tidak lagi menjadi anggota parti," tegasnya.

6

Muhammad Fathi bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Shahrir berhubung keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Muhammad Fathi yang juga Pensyarah di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan bahawa rakyat sudah mulai muak dengan drama berterusan dalam arena politik tanah air.

Beliau turut berpadangan, individu yang menggalas jawatan sama ada dalam kerajaan, badan legislatif atau perundangan bertanggungjawab untuk melaksanakan peranan mereka berteraskan undang-undang yang jelas.

"Dalam situasi sekarang apabila wujud keputusan berbeza, ia menimbulkan persoalan kepada rakyat.

"Adakah mereka bertindak berdasarkan undang-undang atau kepentingan politik?" soalnya lagi.

BERSATU pada Rabu mengesahkan menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian dalam parti berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu amat mengecewakan kerana ia jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu juga, beliau memaklumkan bahawa partinya akan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat turut mengingatkan Ahli Parlimen Pagoh itu supaya membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai akta anti lompat parti secara keseluruhan.

Ini kerana jelas beliau, kedudukan keenam-enam bekas ahli Parlimen Bersatu tersebut dibuat berlandaskan undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram