Kerajaan terbuka pinda akta anti lompat parti — PM Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Anwar (depan, dua dari kanan) berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membincangkan mengenai perkara tersebut. — Facebook/AnwarIbrahim

KERAJAAN terbuka untuk meminda undang-undang anti-lompat bagi menutup sebarang kelemahan yang wujud, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika anda (pembangkang) mahu meminda undang-undang anti-lompat, kita boleh bincangkannya. Ia tidak menjadi masalah,” katanya menerusi laporan FMT ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Putrajaya.

Pada masa sama, Anwar turut mengulangi bahawa ketika undang-undang anti lompat parti itu digubal, Pakatan Harapan menegaskan bahawa sesiapa yang dipecat daripada parti harus secara automatik hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

BACA LAGI: Penyertaan BRICS: Pembangkang minta kerajaan waspada matlamat politik blok perjanjian ekonomi baharu

BACA LAGI: Status kerusi tradisi tak beri jaminan, skrip Sungai Bakap berpotensi berulang di Nenggiri

Namun menurutnya, perkara itu tidak dipersetujui oleh Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan.

“Bagaimanapun, pada masa itu BERSATU tidak bersetuju kerana mereka membawa masuk ahli daripada Umno,” katanya.

2795548

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pada 20 Jun lalu, BERSATU mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan BERSATU bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan.

Dalam penjelasannya menerusi surat pemberitahuan keputusan berkenaan, Johari berkata, enam bekas ahli Parlimen BERSATU itu tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing kerana pindaan Perlembagaan parti itu yang dibuat baru-baru ini bertentangan dengan peraturan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen.

Johari berkata, peraturan di bawah Fasal 10.5 perlembagaan Bersatu menafikan hak lima Ahli Parlimen terbabit yang termaktub di bawah Persekutuan Perlembagaan, Peraturan Tetap Parlimen dan Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Ujarnya, tiga undang-undang itu memastikan keistimewaan, kebebasan bersuara, perbahasan dan pengundian ahli Parlimen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram