LEBIH ramai golongan petani dan pekebun kecil perlu cepat-cepat memanfaatkan peluang mendapatkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi di bawah Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI).
Ketika ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) giat melaksanakan pelbagai program termasuk aktiviti turun padang bagi memastikan usaha kerajaan menyalurkan peruntukan subsidi kepada golongan yang berkelayakan dapat dicapai.
BUDI Agri-Komoditi merupakan insentif bantuan tunai kerajaan menerusi pelaksanaan program penyasaran semula subsidi diesel, khusus untuk petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar di bawah KPKM dan KPK.
BACA LAGI: Kalau takut tak mampu bayar diesel, mohon Budi Madani bukan jual kereta’
BUDI Agri-Komoditi adalah salah satu kategori di bawah inisiatif BUDI MADANI untuk menyalurkan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 kepada golongan berkelayakan mulai Jun 2024.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Hari Terbuka BUDI Agri-Komoditi di MARDI Klang, Selangor.
Kategori itu adalah khusus untuk petani kecil (tanaman, akuakultur dan ternakan) dan pekebun kecil (sawit, getah, koko, lada dan kenaf) di Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan KPKM dan KPK.
Bagi memastikan inisiatif kerajaan itu sampai ke peringkat akar umbi, KPKM dan KPK menyantuni golongan petani kecil dan pekebun kecil menerusi pelbagai aktiviti turun padang.
Di peringkat KPKM, kementerian giat menganjurkan Hari Terbuka BUDI Agri-Komoditi bermula awal Julai 2024 bagi memperhebat usaha mempromosi BUDI Agri-Komoditi di samping memudah cara proses permohonan.
Golongan petani dan pekebun kecil layak menerima BUDI Agri-Komoditi. — Gambar hiasan
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPKM, Mohd Zahile Ismail berkata, KPKM sudah mengarahkan semua 86 pejabat pertanian daerah di Semenanjung Malaysia untuk mengadakan Hari Terbuka BUDI Agri-Komoditi bermula dari awal Julai 2024.
Program Hari Terbuka BUDI Agri-Komoditi tersebut akan membabitkan jabatan dan agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan (DOF), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas (MPIB), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
"Program ini akan mengambil tempat di lokasi seperti pusat transformasi bandar (UTC), pusat latihan pertanian, majlis perbandaran dan pejabat pertanian daerah.
"Pengisian Hari Terbuka BUDI Agri-Komoditi peringkat daerah ini antara lain untuk mempromosi BUDI MADANI secara menyeluruh termasuk membantu pendaftaran sistem GeoAgro di bawah KPKM," katanya kepada Majoriti.
Pembukaan kaunter fizikal memudah cara proses permohonan BUDI Agri-Komoditi secara dalam talian.
Mohd Zahile berkata, setiap program anjuran KPKM serta jabatan dan agensi di bawah kementerian juga akan mempromosi BUDI Madani termasuk BUDI Agri-Komoditi dengan menyediakan booth penerangan dan pendaftaran.
"Kita turut memasukkan aktiviti ini dalam acara-acara yang memang ada dalam perancangan tahun 2024.
"Justeru, golongan petani dan pekebun kecil ini amat dialu-alukan menyertai program yang berlangsung supaya mereka dapat membuat permohonan. Namun demikian, sekiranya tidak berkesempatan untuk menyertai program Hari Terbuka tersebut, pejabat-pejabat jabatan dan agensi di bawah KPKM akan sentiasa terbuka untuk membantu petani-petani kecil ini.
"Pada masa yang sama jua, ingin diingatkan supaya mereka membawa salinan kad pengenalan, geran tanah dan kenderaan serta akaun bank untuk memudahkan proses permohonan," katanya.
Poster Hari Terbuka BUDI Agri-Komoditi yang akan diadakan di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor pada 16 Julai ini.
Sementara itu, sebagai langkah proaktif bagi memastikan pekebun kecil sektor komoditi memperoleh manfaat daripada inisiatif itu, KPK telah mengadakan program turun padang bagi bertemu golongan berkenaan di lapangan, bertujuan menggalakkan mereka membuat pendaftaran.
Selain itu, KPK juga memberikan penerangan lanjut berhubung prosedur permohonan secara bersemuka.
Antara program yang baru sahaja berlangsung adalah Taklimat dan Pendaftaran BUDI Agri-Komoditi (Zon Utara Semenanjung) anjuran KPK bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Dewan Serbaguna, Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3 Julai lalu.
Program berkenaan melibatkan seramai 200 pekebun kecil berdaftar daripada sektor sawit dan getah dengan rata-rata yang hadir menyatakan keterujaan mereka setelah permohonan BUDI Agri-Komoditi yang dibuat dalam laman web https://budimadani.gov.my diluluskan.
Mereka dalam pada itu turut menyokong usaha KPK yang hadir bagi menyantuni pekebun kecil di lapangan.
Suasana sekitar sesi pendaftaran BUDI Agri-Komoditi melibatkan pekebun-pekebun kecil berdaftar sektor sawit dan getah di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Selain sesi taklimat dan pembukaan kaunter khidmat pendaftaran BUDI Agri-Komoditi oleh petugas KPK bagi memudah cara proses permohonan dalam talian kepada pekebun kecil, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang juga turut membuka kaunter rujukan dan permohonan bagi kategori Individu (BUDI Individu).
Maklum kementerian itu lagi, KPK sedang dan akan meneruskan program turun padang BUDI Agri-Komoditi pada Julai sehingga September 2024 depan dengan menyasarkan pekebun kecil komoditi berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia.
Inisiatif KPK dan agensi di bawahnya seperti MPOB, LGM, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bertujuan menggalakkan pendaftaran permohonan BUDI Agri-Komoditi pekebun kecil sektor komoditi berdaftar.
Usaha ini dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat kerajaan membantu golongan sasar mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram