Raghad buat laporan polis dakwa dihalang masuk rumah di Kuching


  • Massa
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Raghad menerusi Instagram menunjukkan beliau dan pengawal keselamatan dihalang ketika cuba memasuki kediaman di Kuching.

ISTERI kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis selepas beliau mendakwa dihalang daripada memasuki kediamannya di Kuching, Sarawak pada minggu lalu.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Toh Puan Raghad Kurdi memaklumkan, kejadian itu berlaku ketika beliau ke Kuching untuk melawat pusara Allahyarham serta menyampaikan sedekah jariah bagi pihak suaminya yang meninggal dunia pada 21 Februari lepas.

Bagaimanapun, katanya, pengawal bertugas memaklumkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan dia memasuki kediaman tersebut.

BACA LAGI: Wanita dihempap kayu balak di Gua Musang stabil

BACA LAGI: Boleh letak polis di sekolah, tapi ibu bapa sanggup bayar yuran tambahan? — NUTP

"Kami dihalang ketika sampai di pintu pagar dan pengawal memberitahu saya mereka tidak mempunyai kebenaran untuk membenarkan saya masuk.

"Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati membenarkan saya masuk. ALLAH akan sentiasa melindungi dan membela mereka yang dizalimi," katanya.

Melalui hantaran sama, Raghad turut berkongsi beberapa keping gambar semasa berada di pintu pagar kediaman bersama pengawal keselamatan dan ketika melawat pusara Taib.

Susulan kejadian itu, Raghad berkata, beliau membuat laporan polis termasuk permohonan yang perlu di mahkamah.

"Saya lakukan semua ini dengan berat hati, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

"Allahyarham (Taib) suami saya, tapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan yang dilakukan terhadap saya dan menuntut keadilan.

"Saya tahu saya tidak pernah berkongsi cerita saya sebelum ini, tetapi sudah tiba masanya untuk berbuat demikian," katanya.

Taib meninggal dunia pada 21 Februari lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Allahyarham diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 10 Februari untuk mendapatkan rawatan lanjut, selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Pakar Normah di Petra Jaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram