Kerusi 6 MP Bebas di Dewan Rakyat sesuai dianggap penyokong blok kerajaan — Pakar


  • Politik
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Enam Ahli Parlimen Bebas, dari kiri: Syed Abu Hussin, Zahari, Iskandar Dzulkarnain, Suhaili, Zulkafperi dan Mohd Azizi.

ENAM bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Khamis berisytihar akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mereka menyertai mana-mana parti.

Beliau turut menjelaskan, soal kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat juga tidak seharusnya berbangkit kerana ia hanya boleh diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker

BACA LAGI: Pindaan Perlembagaan BERSATU bercanggah Perlembagaan Persekutuan — Speaker

Mengulas lanjut mengenai situasi itu, Pensyarah di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kedudukan kerusi keenam-enam Ahli Parlimen Bebas itu dalam Dewan Rakyat berada di bawah bidang kuasa pengurusan Parlimen.

Bagaimanapun ujarnya, berdasarkan kenyataan mereka sebelum ini yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sepatutnya berada di kerusi kerajaan.

DEWAN

BERSATU pada Rabu mengesahkan menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian dalam parti berkenaan.

"Akan ada dua pilihan, sama ada mereka berada di tengah-tengah antara kerusi pembangkang dan kerajaan iaitu tidak memihak kepada mana-mana blok atau di kerusi kerajaan.

"Namun mereka juga sesuai dianggap sebagai penyokong kerajaan kerana dalam konteks Dewan Rakyat, kepercayaan atau sokongan yang diberikan kepada perdana menteri itu dianggap sebagai penyertaan dalam kerajaan," katanya kepada Majoriti.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhaili ketika mengetuai sidang media di Parlimen pada Khamis memberitahu, soal kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat sama sekali tidak berbangkit kerana ia akan diputuskan oleh Speaker, jika pembangkang enggan menerima mereka berada dalam bloknya.

"Kami akur kalau Speaker kata kami duduk di tempat sedia ada dan tak akan berpindah. Ini semua keputusan Speaker.

"Yang menjadikan kami Ahli Parlimen Bebas ialah Perikatan Nasional (PN) daripada blok pembangkang. Jadi kedudukan kami dalam dewan terletak kepada Speaker.

"Status kami Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan oleh PN. Di mana kami duduk, Speaker akan menentukan kerana ini jelas, kami angkat sumpah bukan di hadapan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yasin). Kami angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Speaker Dewan Rakyat," katanya.

6

Muhammad Fathi

Suhaili turut menegaskan bahawa mereka tidak melompat parti dan melanggar apa-apa syarat yang disebut dalam Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan hanya boleh terpakai sekiranya mereka melepaskan keahlian dalam parti.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

BERSATU pada Rabu mengesahkan menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian dalam parti berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu amat mengecewakan kerana ia jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu juga, beliau memaklumkan bahawa partinya akan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat turut mengingatkan Ahli Parlimen Pagoh itu supaya membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai akta anti lompat parti secara keseluruhan.

Ini kerana jelas beliau, kedudukan keenam-enam bekas ahli Parlimen Bersatu tersebut dibuat berlandaskan undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram