SEORANG wanita cedera selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung setinggi 10 meter ketika menuruni Puncak Gunung Korbu, Ipoh, Perak pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun digerakkan ke tapak mula pendakian 10 minit kemudian.
Menurutnya, mangsa dengan berat 90 kilogram (kg) itu terjatuh ke dalam gaung semasa melintas dengan memeluk balak yang tumbang di tebing sungai.
BACA LAGI: [VIDEO] Mantera tak menjadi, pawang maut dibaham buaya
BACA LAGI: 'Bukan kehilangan tapi kita memulangkan', isteri reda rangka ditemui milik Muhammad Syafiq
Mangsa terjatuh ke dalam gaung semasa melintas dengan memeluk balak yang tumbang di tebing sungai. — JBPM Perak
“Mangsa berusia 35 tahun tersebut dipercayai mengalami kecederaan pada tulang rusuk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sabarodzi memaklumkan, jarak lokasi kejadian dengan tapak mula pendakian dianggarkan sejauh tiga kilometer dengan laluan trek mendaki dan curam selain mengambil masa hingga enam jam perjalanan.
“Dari lokasi mangsa terjatuh, pasukan penyelamat perlu menyeberangi tiga sungai dengan kelebaran 10 meter dan kedalaman pada paras betis,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat untuk membawa keluar mangsa dari kawasan tersebut.
“Anggota penyelamat yang membawa peralatan menyelamat termasuk pengusung perlu mendaki melalui lereng bukit dalam cuaca gelap serta jalan licin akibat hujan, selain menempuh anak sungai sebelum tiba di lokasi mangsa jatuh,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram