SEORANG wanita berusia 25 tahun dilaporkan hilang dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.
Seorang kenalan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Amira memberitahu, mangsa, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, bekerja di bahagian pemasaran sebuah syarikat percetakan di Tanjung Malim, namun dalam masa sama turut membuat kerja sambilan di syarikat penyewaan kereta.
Menurut Amira, rakannya disyaki hilang sejak pukul 8 pagi tanpa sebarang khabar berita sehingga kini.
BACA LAGI: Mohon bantuan lelaki misteri, gadis Ranau hilang rupanya cari kerja kerana mahu beli telefon pintar
BACA LAGI: Kali terakhir dilihat naik kereta lelaki misteri, 3 gadis Ranau hilang tanpa jejak
Amira menguar-uarkan tentang kehilangan Nur Farah Kartini di media sosial.
Sedangkan ujarnya, wanita berasal dari Miri, Sarawak itu sepatutnya terus ke tempat kerja selepas menghantar kereta sewa berkenaan kepada seorang pelanggan wanita.
"Selepas pukul 10 pagi, dia masih tidak sampai ke tempat kerja. Biasanya kalau ada staf yang tidak masuk kerja, saya akan terus hubungi, tapi kali ini telefon Farah tidak berjawab.
"Farah bukan jenis yang diam saja, kalau tidak masuk kerja dia akan maklumkan, sebab itulah cukup sejam dia hilang saya dah risau.
"Seharian kami cari, memang tidak jumpa, kami semua mula rasa tidak sedap hati," katanya kepada Majoriti.
Amira pada awalnya turut berkongsi gambar dan maklumat mengenai kehilangan Nur Farah Kartini di media sosial, bagaimanapun atas nasihat orang ramai, dia kemudian membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Ulu Bernam.
Bagaimanapun jelasnya, pihak polis masih belum mempunyai maklumat terkini tentang keberadaan mangsa.
Ada yang mendakwa mangsa ketika ini berada di Lipis, Pahang.
Amira menambah, berdasarkan pencarian orang awam menerusi aplikasi Truecaller, ada yang mendakwa graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ketika ini berada di Lipis, Pahang, namun maklumat itu masih belum dapat dipastikan.
"Saya sebarkan di laman Facebook tentang kehilangan dia dan ramai yang prihatin mahu membantu menyemak lokasi terkini Farah, tetapi setakat ini masih belum jumpa.
"Farah seorang rakan yang baik dan ceria, kalau ada masalah pun biasa dia cerita dengan saya.
"Saya berharap orang ramai yang ada maklumat tentang kehilangan Farah minta tolong hubungi saya di talian 0137445178," katanya sambil menambah Farah tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram