PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Rabu melancarkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 secara serentak melibatkan 54 pejabat PERKESO di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Ops Kesan Ke-15 itu dilaksanakan selepas Bulan Pemutihan yang memberi peluang kepada majikan untuk mendaftar dan mencarum pekerja tanpa dikenakan sebarang penalti, tamat pada 30 Jun lalu.
Beliau berkata, seramai 15,540 majikan, selain 262,011 pekerja baharu yang layak mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) berdaftar dengan PERKESO.
BACA LAGI: Tempoh pemutihan sudah tamat, PERKESO bakal heret kelab culas carum pemain ke mahkamah
BACA LAGI: PERKESO lanjut tempoh Bulan Pemutihan, majikan dapat peluang daftar dan carum pekerja
Mohammed Azman ketika berucap selepas melancarkan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan 2024 di Bangi, Selangor pada Rabu.
"Mengikut jumlah pekerja baharu yang didaftarkan, 90,068 daripadanya merupakan pekerja tempatan, manakala 171,943 lagi ialah pekerja asing.
"Perangkaan ini merekodkan peningkatan 30.5 peratus bagi jumlah majikan dan 32.6 peratus untuk jumlah pekerja berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jika dicongak dari segi kadar purata, terdapat 7,081 pekerja dan 420 majikan berdaftar dengan PERKESO dalam waktu 24 jam, sepanjang Bulan Pemutihan dilancarkan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, Ops Kesan Ke-15 yang melibatkan penugasan hampir 1,000 anggota di seluruh negara adalah bukti bahawa PERKESO komited melindungi hak dan kebajikan pekerja, bukan sekadar ‘wayang’ atau ‘cakap kosong’ seperti tohmahan yang dimainkan di media sosial.
Jelasnya, menerusi operasi besar-besaran tersebut, semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja, tanpa mengira jumlah gaji, perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka, sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 (Akta 800).
Ops Kesan Ke-15 dilaksanakan selepas Bulan Pemutihan yang tamat pada 30 Jun lalu.
“Sepanjang pelaksanaan Ops Kesan sejak 2009 hingga Jun 2024, sebanyak 22,251 notis kompaun dengan nilai berjumlah RM17 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, manakala 24,500 kes sudah didakwa atas pelbagai kesalahan.
“Sehubungan itu, tiada kompromi daripada PERKESO apabila pemeriksaan dijalankan di premis majikan, dengan kompaun akan terus dikeluarkan sekiranya mereka didapati melakukan sebarang kesalahan.
“Malah, Ops Kesan Ke-15 akan dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan secara bermusim kerana majikan sudah diberikan waktu secukupnya untuk melakukan pendaftaran perusahaan serta menunaikan hak pekerja ketika Bulan Pemutihan,” katanya.
Setakat pukul 6 petang Rabu, sebanyak 4,408 lawatan pemeriksaan ke atas premis dilaksanakan Ops Kesan Ke-15 yang menyaksikan pengeluaran Notis Kompaun Akta 4
Sebanyak 558 dan Akta 800 sebanyak 233 dengan keseluruhan notis dikeluarkan berjumlah 791 serta kumulatif kompaun bagi kedua-dua Akta adalah sebanyak RM654,500.
Berdasarkan perangkaan ini juga mendapati 18 peratus majikan gagal mematuhi undang-undang di bawah Akta 4 dan Akta 800. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram