Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker


  • Politik
  • Khamis, 11 Jul 2024

Enam bekas Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan akan terus komited berkhidmat kepada rakyat di parlimen masing-masing walaupun berstatus Bebas.

ENAM bekas Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan akan terus komited berkhidmat kepada rakyat di parlimen masing-masing walaupun berstatus menjadi wakil rakyat Bebas, lapor Buletin TV3.

Dalam satu sidang media yang diketua Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, mereka berkata, tindakan menyokong Kerajaan Perpaduan tahun lalu hanya dengan satu matlamat iaitu memperoleh peruntukan ahli parlimen.

BACA LAGI: Kedudukan 6 MP bekas Ahli BERSATU, Speaker bertindak ikut Perlembagaan — PM Anwar

BACA LAGI: Pindaan Perlembagaan BERSATU bercanggah Perlembagaan Persekutuan — Speaker

“Kami kekal taat dan setia kepada parti BERSATU, parti yang kami wakili, akan tetapi tidak diterima pucuk pimpinan.

“Kami juga jelaskan kami berenam menyokong kerajaan demi untuk peruntukan, dan kami berenam tidak mampu menjatuhkan kerajaan.

“Jadi apa salahnya dia (BERSATU) benarkan kami menyokong kerajaan demi untuk mendapatkan peruntukan kerana parti tidak mampu berikan kami peruntukan,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen pada Khamis.

Turut hadir Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak hadir kerana tidak sihat.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata, soal kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat juga tak berbangkit sama sekali kerana ia akan diputuskan oleh Speaker, jika pembangkang enggan menerima mereka berada dalam bloknya.

"Kami akur kalau Speaker kata kami duduk di tempat sedia ada dan tak akan berpindah. Ini semua keputusan Speaker. Yang menjadikan kami Ahli Parlimen Bebas ialah Perikatan Nasional (PN) daripada blok pembangkang. Jadi kedudukan kami dalam dewan terletak kepada Speaker.

"Status kami Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan oleh PN. Di mana kami duduk, Speaker akan menentukan kerana ini jelas, kami angkat sumpah bukan di hadapan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yasin). Kami angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Speaker Dewan Rakyat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram